Friday, August 19, 2022

Sarawak tambah RM30 juta untuk PTPTN

Secara Rawak

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju memperuntukkan RM30 juta lagi bagi membantu pelajar membayar balik pinjaman pendidikan mereka dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata peruntukan itu adalah tambahan kepada RM30 juta yang diperuntukkan sebelum ini.

“Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni (semasa membentangkan usulnya) ada menyentuh tentang menambah bantuan bagi membantu peminjam PTPTN.

“Sebelum ini kita peruntukkan RM30 juta, jadi hari ini kita tambah RM30 juta lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan semasa Perhimpunan Agung PBB Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.

Pada Mac tahun lepas, Yayasan Sarawak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan PTPTN.

Menerusi MoU itu, Yayasan Sarawak akan menggunakan peruntukan kerajaan negeri untuk memberi insentif kepada pelajar Sarawak yang telah membayar balik sekurang-kurangnya 30 peratus pinjaman PTPTN bagi melangsaikan 30 peratus baki pinjaman yang diambil.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru