Friday, August 19, 2022

Restroom, four push two: Akibat tak pandai bahasa Inggeris

Secara Rawak

KUCHING: Para perwakilan yang menghadiri Persidangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-15 di sini hari ini tidak dapat menahan tawa masing-masing apabila Yang Dipertua parti itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkongsi jenaka mengenai ‘restroom’ dan ‘four push two.’

Abang Johari berkata ketika menjadi Menteri Pelancongan Sarawak dalam Kabinet diterajui Ketua Menteri Keempat , Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, beliau mendengar kisah seorang pemandu pelancong secara tidak sengaja telah menyebabkan seorang pelancong yang bertutur dalam bahasa Inggeris berdepan keadaan tidak selesa akibat penguasaan bahasa yang lemah.

Beliau berkata pelancong itu telah meminta pemandu pelancong menunjukkan ‘restroom’ kerana ingin buang air namun dia sebaliknya dibawa ke sofa dan diberitahu “you can rest here.”

“Hanya selepas pelancong itu mendemonstrasikan bahawa dia benar-benar sudah tidak tahan dan perlu segera buang air barulah pemandu pelancong menyedari ‘restroom’ yang dimaksudkan ialah tandas,” katanya seperti dipetik Bernama.

Pusat Konvensyen Borneo di mana persidangan tersebut berlangsung sekali lagi gamat dengan gelak tawa para hadirin apabila Premier Sarawak itu menceritakan pula kisah seorang guru yang mengikuti pengajian dalam bahasa Melayu telah dipaksa mengajar Matematik dalam Bahasa Inggeris.

Abang Johari berkata ketika itu beliau menyandang jawatan sebagai menteri negeri yang bertanggungjawab bagi pendidikan ketika pentadbiran Abdul Taib dan dimaklumkan bahawa guru terbabit tidak terlatih dalam mata pelajaran tersebut namun terpaksa memikul tugas itu kerana guru matematik sedang bercuti sakit.

“Guru ini terus mengajar anak muridnya dan melontarkan soalan ‘four push two, what is the answer?’ beliau tidak menyebut perkataan ‘subtract’ atau ‘minus’ kerana tidak tahu penggunaannya dalam bahasa Inggeris,” katanya.

Abang Johari berkongsi kedua-dua jenaka itu semasa menggulung persidangan tiga hari yang turut menyaksikan beliau mengulangi keperluan menguasai Bahasa Inggeris tanpa menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Bahasa Inggeris penting namun kita tetap perlu menguasai kedua-dua bahasa dengan baik,” katanya.

Ketika merasmikan persidangan itu semalam, Abang Johari berkata keputusan kerajaan negeri untuk mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi di Sarawak bersama-sama bahasa kebangsaan adalah selari dengan Perlembagaan Persekutuan.-

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru