Sunday, June 26, 2022

Projek hidrogen RM15 bilion dibangunkan di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah pun bekerjasama dengan beberapa pelabur asing untuk membangunkan projek-projek hidrogen yang bernilai kira-kira RM15 billion (USD3.4 billion), kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Selain itu, katanya SEDC, SHELL Sarawak dan PTTEP Thailand di dalam proses memuktamadkan cadangan mengkomersialkan ‘Offshore Sarawak Sour Gas Reserves’ dengan nilai pelaburan RM52.2 bilion (USD12 billion).

“Semua pelaburan ini akan mencetuskan kesan ‘spin-off’ yang besar kepada sosioekonomi Sarawak, mewujudkan banyak peluang perniagaan dan peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan maklum balas kepada perbahasan sempena Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad.

Menjelas lanjut, Awang Tengah yang juga Timbalan Presiden PBB berkata misalnya di Sama Jaya High-Tech Park, Kuching sebanyak 98 peratus daripada 14,600 tenaga kerja adalah terdiri daripada anak Sarawak dan pada 2021, dengan sejumlah RM684 juta telah dibayar sebagai gaji.

Katanya yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, nilai ‘spin-off’ kepada ekonomi tempatan dianggarkan bernilai RM607 juta pada tahun yang sama.

Beliau menambah di Taman Perindustrian Samalaju Bintulu pula, ia telah memberi pekerjaan kepada 7,800 orang dalam industri intensif tenaga, dengan 76 peratus adalah anak Sarawak.

“Pada tahun 2021, sebanyak RM425 juta pendapatan telah dijana manakala nilai ‘spin-off’ kepada ekonomi tempatan dianggarkan bernilai RM4.6 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, Awang Tengah berkata dalam tempoh dua tahun yang lepas semasa bergelut dengan pandemik Covid-19, Sarawak telahpun berjaya menarik pelaburan daripada luar dan dalam negara sebanyak RM23.17 bilion

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru