Friday, August 19, 2022

Pendidikan percuma untuk anak Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memberi pendidikan yang percuma kepada anak Sarawak, jika mempunyai lebihan dana.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu sememangnya menjadi hasrat beliau agar Sarawak melahirkan lebih ramai anak-anak yang berilmu.

“Sudah menjadi niat saya, kalau kita ada lebihan dana, kita labur dana berdaulat.

“Kalau pulangannya banyak, kita berikan pendidikan kalau boleh percuma kepada anak Sarawak supaya ilmunya meningkat dan mereka berkeliaran menggunakan hasil yang ada di Sarawak bagi menambah rezeki dan menjadi wilayah yang agak maju,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, kelmarin.

Menurut Abang Johari yang juga Presiden PBB, kerajaan pimpinannya akan terus mencongak strategi bagi menambah hasil negeri, untuk dimanfaatkan kepada rakyat dan pembangunan di Bumi Kenyalang ini.

Beliau berkata antaranya menerusi tenaga, apabila Kerajaan Sarawak sekarang dalam perbincangan dengan Singapura untuk mengeluarkan elektrik ke negara berkenaan.

“Singapura berkehendakkan elektrik, jadi saya beritahu mereka yang Sarawak hanya boleh beri maksimum 1,000 megawatt, tidak lebih daripada itu tetapi kalau mereka mempunyai sebarang pelaburan berkaitan tenaga, bawa ke Sarawak dan mereka bersetuju.

“Pusat data merupakan nadi bagi ekonomi digital seperti Microsoft, Google, Amazon dan mereka berkehendakkan tenaga.

“Singapura mungkin tidak dapat keluarkan tenaga, kenapa tidak kita bekerjasama, biarlah Microsoft, Amazon datang ke Sarawak dan tubuhkan pusat data di Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, Sarawak kini mengeluarkan elektrik untuk Indonesia, serta mempunyai perjanjian bagi membantu membekalkan elektrik ke Sabah termasuk Brunei Darussalam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru