Tuesday, August 16, 2022

Pemimpin futuristik anjak Sarawak ke hadapan

Secara Rawak

Berita Harian menyiarkan tulisan saya bertajuk ‘Abang Johari harapan baharu Sarawak’ pada 16 Januari 2017. Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari baru dilantik sebagai Premier Sarawak empat hari sebelum itu, selepas pemergian Tan Sri Adenan Satem pada 11 Januari.

Saya menyatakan  keyakinan terhadap  keupayaan Abang Johari  untuk merancakkan  rentak pembangunan demi kesejahteraan  rakyat di negeri ini ketika segelintir  masih meragui keupayaannya untuk mengisi ‘kasut besar’ yang ditinggalkan oleh Adenan.

Sebagai pemimpin yang berpengalaman luas dalam politik, berintegriti tinggi, komited dalam tugas dan tanggungjawabnya, serta memiliki wawasan tajam dan jauh, beliau  pasti mampu menggalas tugas dan memenuhi harapan rakyat.  Tidak hairanlah, hasil kajian daripada survei yang saya lakukan tidak lama selepas beliau menjadi Premier, sebanyak 92 peratus rakyat Sarawak menyokong pelantikan dan kepemimpinan beliau.

Berdasarkan rekod, saya jelaskan,  Abang Johari ialah pemimpin yang tidak berkompromi dengan integriti, bersih daripada sebarang skandal dan salah guna kuasa. Kewibawaan dan ketokohan beliau tidak diragui.

Jelas saya lagi, rakyat Sarawak mengharapkan Abang Johari memiliki ketegasan, kepintaran, komitmen dan wawasan untuk melonjakkan Sarawak dari segi politik, ekonomi sosial, pendidikan dan prasarana. Beliau sentiasa menguji sempadan kemungkinan dalam apa-apa yang difikirkannya dan dilakukannya sehingga melalui akhirnya berjaya mencetuskan pelbagai inisiatif dan dasar menarik untuk faedah rakyat.

“Dan, Abang Johari, dengan kearifan, kebijaksanaan dan pengalaman panjang beliau tentu mampu memenuhi impian dan harapan kita semua,” saya tegaskan dalam tulisan itu.

Adakah apa-apa yang saya tulis itu telah menjadi kenyataan? Dengan pengalaman 40 tahun berjuang dalam PBB dari  peringkat akar umbi hinggi kini menerajui parti dan negeri, tidak syak lagi, beliau telah meletakkan PBB, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan negeri  di atas landasan yang betul.

Ketika Adenan meninggal dunia, Abang Johari, ketika itu berusia 67 tahun ialah Timbalan Presiden PBB. Selepas menjadi Presiden parti dan Premier Sarawak, beliau terus mengorak langkah dengan yakin untuk melonjakkan Sarawak sebagai negeri maju menjelang 2030. Justeru, melalui pemikiran strategik dan pragmatik, beliau mencetuskan lebih daripada seratus inisiatif dalam pelbagai bidang, yang bertujuan untuk mengubah nasib Sarawak dan rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Komitmennya terhadap nasib dan kebajikan rakyat terbukti daripada langkah yang diambil untuk  membantu rakyat, termasuk dari segi kesihatan,  serta ekonomi dan sara hidup ketika Covid-19 melanda dan perintah kawalan pergerakan dilaksanakan. Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS)  ialah bukti komitmen dan kesedaran beliau betapa rakyat perlu dibantu ketika mereka menghadapi kesulitan, cabaran dan ujian dalam hidup.

Saya pasti, selepas lebih lima tahun memerintah,  bagi mereka yang bersikap objektif, beliau telah berjaya memenuhi harapan dan aspirasi rakyat dan negeri. Beliau ialah contoh pemimpin yang sentiasa meletakkan rakyat dan negeri sebagai agenda perjuangannya.

Abang Johari ialah arkitek dan pejuang pembangunan moden terutamanya pembangunan di luar bandar di Sarawak. Falsafah dan idea politik, ekonomi digital,  ekonomi hidrogen, kewangan, pembangunan tenaga boleh diperbaharui, program nyahkarbon, kelestarian alam sekitar dan lain-lain termasuk ekonomi digital, pembangunan jambatan, jalan raya pesisir dan sebagainya adalah  bersifat futuristik, pragmatik dan strategik.

Pemimpin hebat perlu berfikir  melangkaui dan menembusi dinding waktu dan zaman, selain mengambil tindakan yang berani walaupun mungkin tidak popular. Maksudnya,  sebagaimana yang dibuktikan oleh Abang Johari, beliau telah memperkenalkan langkah dan inisiatif yang bersifat ke hadapan dan mungkin sukar diterima oleh sebahagian orang yang biasa terperangkap dalam kepompong pemikiran konvensional dan jumud.

Lihat dan telitikan sahaja konsep dan idea yang diperkenalkannya termasuk SST, gas hidrogen, ART, ekonomi digital, pengambilalihan Empangan Bakun, TVS dan lain-lain.  Sesungguhnya, kepintaran, kearifan, kebijaksanaan, kecerdikan, keberanian, komitmen dan iltizam politik amat didambakan termasuk dalam menuntut hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963.

Abang Johari memimpin negeri ketika politik negara berdepan cabaran getir terutamanya selepas BN tewas dalam PRU-14.  Politik negara huru-hara dan bergelora selepas itu. Siapakah yang terfikir bahawa beliau akan membawa PBB dan parti komponen BN dari Sarawak keluar dari BN pusat?  Tindakan itu bukan sahaja menuntut keberanian, tetapi percaturan strategi yang ampuh.  Paksinya tentu kepentingan, kebajikan dan masa depan Sarawak dan rakyatnya.

Hakikatnya, Abang Johari mewarisi parti PBB yang begitu mengutamakan tradisi, struktur, dan kesinambungan dalam peralihan kepemimpinan. Itulah sebabnya peralihan kepimpinan adalah teratur dan lancar. Inilah rahsia di sebalik kejayaan politik dan negeri yang stabil, kukuh dan bersatu, dengan semangat toleransi dan solidariti yang teguh.

Permuafakatan dalam parti memerlukan ramuan yang kreatif dan ampuh, pendekatan yang berkesan dan strategik, serta minda yang terbuka. Lebih daripada itu, segala ramuan itu perlu bersalutkan keikhlasan hati dalam perjuangan.  Juga, komitmen padu, keupayaan membina semangat berpasukan yang utuh, kejujuran, dimantapkan oleh azam kental, kesungguhan tekad, yang dibeningkan dengan sifat rendah diri, dan diheningkan sifat tidak sombong.

Pemimpin dan  lebih daripada 350,000 ahli dengan 47 cawangan perlu mengambil iktibar daripada semangat perjuangan, sifat tolak ansur dan pengorbanan pengasas dan pemimpin parti.

Parti Negara Sarawak (PANAS) yang ditubuhkan pada 1960  dan BARJASA yang dibentuk pada 1961  bergabung menjadi Parti Bumiputera pada 1968. Parti Bumiputera kemudiannya bergabung  dengan PESAKA  pada 1973. Tindakan penggabungan dua peringkat dalam tempoh masa yang berbeza itulah yang kemudiannya melahirkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).   Perundingannya bukannya mudah tetapi berkat sifat terbuka dan berjiwa besar pemimpin pelbagai kaum bumiputera ketika itu, akhirnya PBB berjaya dibentuk.

Dengan adanya permuafatakan dan kesedaran tentang pentingnya perpaduan dan kesatuan dalam perjuangan, serta pembangunan masyarakat dan negeri ini,  para pemimpin terbabit sanggup mengetepikan kepentingan diri dan agenda kaum yang sempit. Mereka inilah sebenarnya pejuang dan pengasas pembangunan politik dan sosial di negeri ini hasil daripada kesedaran dan iltizam untuk membentuk sebuah parti politik yang lebih  besar dan kuat,  berteraskan  prinsip keterangkuman dan kesederhanaan.

Asas perjuangan PBB adalah untuk terus memacu pembangunan Sarawak dari segi politik, sosial dan ekonomi. Jadi, tema perhimpunan kali ini, “Menjamin Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak’ memang tepat, sebagai lanjutan kepada manifesto yang memungkinkan GPS menang besar dalam PRN-12.

Dalam PRU yang mencabar itu, PBB telah memenangi semua 47 kerusi yang ditandinginya, sekali gus menyumbang kepada kemenangan besar GPS. GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN Sarawak, dan berjaya merampas kembali kerusi dalam genggaman pembangkang. Inilah satu lagi kejayaan cemerlang Abang Johari sebagai Presiden PBB dan Pengerusi GPS.

Yakinilah, rahsia kejayaan PBB pilihan raya demi pilihan raya adalah berkat keikhlasan perjuangannya membela nasib dan masa depan rakyat negeri ini. Di bawah teraju kepimpinan Abang Johari, parti menjadi platform untuk merealisasikan impian dan aspirasi rakyat.  Sejak 2017, PBB dan GPS dipimpin dengan hala tuju yang jelas dengan dasar yang berpandangan jauh demi membantu menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.

Ternyata, langkah berani oleh anak Gabenor pertama Sarawak, Tun Abang Haji Openg itu,  sesuatu yang tepat apabila akhirnya Sarawak menjadi ‘kingmaker’ dalam menentukan kerajaan persekutuan ketika politik negara berdepan krisis dan gelora.

Abang Johari telah memberi yang terbaik kepada rakyat sejak  menerajui PBB dan menjadi Premier Sarawak.  Sesiapa yang mengikuti pergerakan beliau dengan dekat, pasti tahu bahawa Abang Johari tidak pernah duduk diam. Sebaliknya, sentiasa berfikir,  bekerja dan menjelajah negeri Sarawak serta menyantuni semua kaum di bandar dan luar bandar.

Dengan bantuan akar umbi dan pemimpin PBB dan GPS serta seluruh jentera kerajaan, agenda dan aspirasi beliau  menjadikan Sarawak negeri maju berpendapatan tinggi pasti tercapai dalam lapan tahun lagi.

 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru