Sunday, June 26, 2022

Fokus pembangunan menyeluruh

Secara Rawak

KUCHING: Pergerakan Wanita Parti PBB sentiasa menekankan aspek pembangunan wanita secara menyeluruh dan bukan hanya dari sudut politik semata-mata, tegas Datuk Rubiah Wang.

Pengerusi Jawatankuasa Usul Pergerakan Wanita PBB bagi Perhimpunan Agung PBB Ke-15 itu berkata, perkara tersebut juga merangkumi pembangunan wanita dalam ekonomi, sosial dan pelbagai bidang termasuk sukan serta industri persembahan.

“Dalam perhimpunan kali ini Pergerakan Wanita PBB mengusulkan beberapa perkara mengenai hala tuju wanita ia termasuk keterangkuman wanita dalam membuat keputusan sama ada dalam sektor awam, swasta, korporat mahupun di peringkat pentadbiran komuniti.

“Selain itu, turut diusulkan adalah usaha membangunkan usahawan wanita yang mahir menguasai teknologi maklumat dan ekonomi digital bagi mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

“Ia termasuklah membuka ruang serta peluang kepada wanita dalam memajukan kerjaya masing-masing khasnya dalam era pascapandemik Covid-19, “ katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, baru-baru ini.

Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan menambah, Pergerakan Wanita PBB yang diketuai Datuk Seri Fatimah Abdullah juga mengemukakan pelbagai usul lain dalam perhimpunan tersebut.

“Justeru kita berharap agar usul yang dikemukakan itu mendapat sokongan dan dipersetujui oleh semua pihak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan masalah wanita bukan hanya melibatkan kaum wanita semata-mata tetapi ia juga masalah sejagat yang turut membawa impak kepada masyarakat termasuk lelaki.

“Sasaran kita adalah ingin menjadikan keupayaan wanita sebagai keupayaan yang turut diiktiraf serta menjadikan peranan wanita sama pentingnya dengan peranan lelaki,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru