Sunday, June 26, 2022

Dua lagi agensi pembangunan luar bandar ditubuhkan di sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Tan Sri Datuk Patinggi Abang johari Tun Openg mengumumkan penubuhan Agensi Pembangunan Lembah Rajang dan Betong bagi membantu menyelaras pembangunan yang leibh berkesan di dua kawasan berkenaan dengan peruntukan RM1.5 juta masing-masingnya.

Menurut beliau, agensi Lembah Rajang akan dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh manakala Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas ditugaskan untuk menetapkan sempadan agensi pembangunan Betong.

“Ini merupakan strategi pembangunan di kawasan luar bandar…ini kerana kawasan bandar sudah ada kemudahan asas dan majlis perbandaran yang membantu pembangunannya,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara itu melalui ucapan penutupan dan penangguhan di Perhimpunan Agung Ke-15 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di BCCK di sini semalam.

“Ini strategi baharu kita, dan dua agensi ini bukan sahaja akan fokus kepada pembangunan fizikal tetapi juga latihan insan,” kata presiden PBB itu kepada pemberita selepas itu.

Perhimpunan tiga hari yang berakhir hari ini itu disertai 2,420 perwakilan serta pemerhati.

Selain dua agensi itu, Kerajaan Sarawak telah menubuhkan URDA, HDA, IRSDA, NRDA, SADA dan GKCDA setakat ini untuk membangunkan pelbagai kawasan luar bandar dan pedalaman di negeri ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru