Friday, August 19, 2022

Bahasa Inggeris lebih praktikal

Secara Rawak

KUCHING: Langkah Kerajaan Sarawak untuk terus menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan tidak bermaksud Kerajaan Sarawak tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan.

Demikian tegas Yang Dipertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg sambil menyatakan, ketetapan tersebut berlandaskan kepada perkara yang digariskan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, sesetengah pihak mendakwa bahawa Kerajaan Sarawak tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan apabila bahasa Inggeris dibenarkan dalam perkhidmatan awam Sarawak.

“Bukan tidak sealiran dengan dasar kebangsaan, tetapi kita harus praktikal dan mengakui kepentingan bahasa Inggeris lebih-lebih lagi Sarawak sedang melangkah ke arah dasar ekonomi digital dan ekonomi sekular.

“Dasar yang diperjuangkan Kerajaan Sarawak ini mempunyai banyak istilah bahasa Inggeris yang tidak boleh ditukar atau sukar diterjemahkan ke bahasa kebangsaan,” katanya.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata demikian dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung PBB ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, kelmarin.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa Sarawak masih menerima bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan dalam masa yang sama masih mengekalkan bahasa Inggeris sebagai satu lagi bahasa yang boleh digunakan untuk berkomunikasi.

Beliau berkata bahawa Sarawak mempunyai hak menggunakan Bahasa Inggeris mengikut garis panduan yang termaktub dalam buku Perlembagaan Persekutuan.

“Kita berkisar kepada buku (undang-undang). Saya bukan bercakap dari angin kerana kita di PBB tidak bercakap dari angin, kita berdasarkan fakta, kemudian interaksi. Sebab itu dalam konvensyen PBB, kita juga menggunakan bahasa Inggeris sebab ahli PBB berbilang bahasa.

“Ini adalah cara kita hendak membangun Sarawak…walaupun negeri kita kecil dan tidak dapat dibandingkan dengan negara yang besar seperti China, Amerika, Eropah. Biar kita kecil, tetapi pedas,” katanya lagi.

Menurutnya, Perkara 161 (3) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas ada menyebut bahawa penggunaan bahasa Inggeris dibolehkan bagi prosiding di dalam Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak atau bagi apa-apa prosiding di dalam Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, Abang Johari menegaskan perkhidmatan awam Sarawak akan terus menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi bersama-sama dengan bahasa kebangsaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru