Sunday, June 26, 2022

Abang Johari: Jangan berebut jawatan parti

Secara Rawak

KUCHING: Satu daripada faktor kestabilan dan kejayaan PBB ialah tiada perebutan jawatan dalam kalangan pemimpinnya.

Justeru, Presidennya, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengingatkan ahli dan pemimpin parti agar setia kepada parti dan tidak berebut jawatan sehingga dapat merosakkan dan memecahkan parti.

“Yang penting PBB jadi parti yang kuat. Sekarang pun kuat tetapi berapa lama kita boleh kuat,” kata beliau.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata demikian dalam ucapan penggulungan di akhir Perhimpunan Agung Ke-15 PBB di sini pada Ahad.

Dalam PRN-12 pada 18 Dis lalu, PBB memenangi semua 47 kerusi ditandingi.
“Pemimpin bertukar ganti. Tidak harus ada warlord seperti parti lain – bergaduh sesama sendiri hingga parti hancur,” katanya lagi.

Beliau mengambil contoh dirinya sendiri yang setia dan sabar.

“Macam sayalah … itu ketentuan Allah. Jadi apa yang nak direbut? Boleh pecah parti,” tegasnya.

Abang Johari walaupun Timbalan Presiden, telah dipintas dan tidak dilantik sebagai Premier selepas Tun Abdul Taib Mahmud berundur pada 2014.

Namun, beliau tetap setia kepada parti. Dalam peristiwa Ming Court pada 1987, Abang Johari tidak belot, sebaliknya tetap setia menyokong kepemimpinan Tun Taib.

Dalam peristiwa itu, banyak pemimpin keluar parti dan menentang Tun Taib, namun dalam PRN pada tahun berkenaan, kumpulan penentang – melalui parti Permas- kecundang.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru