Sunday, September 25, 2022

Tiga individu ditahan terlibat curi kereta

Secara Rawak

Seunit besi T yang dirampas daripada suspek.

PADAWAN: Polis menahan tiga individu di Lorong 3, Jalan Stephen Yong, Batu Kawa di sini hari ini kerana disyaki terlibat dalam mencuri kereta.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, ketiga-ketiga suspek terdiri daripada dua lelaki dan seorang perempuang berumur antara 26 hingga 36 tahun ditahan kira-kira jam 9.15 pagi oleh cawangan Unit Rondaan Bermotosikal IPD Padawan.

Menurutnya, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung gelagat mencurigakan tiga individu sedang cuba menghidupkan sebuah kereta Perodua Kancil.

“Semasa tangkapan dibuat, kesemua suspek berada di dalam kenderaan tersebut.

“Pihak polis turut merampas kenderaan terbabit yang menggunakan nombor pendaftaran palsu dan seunit besi berbentuk T,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut merupakan kenderaan curi yang dilaporkan hilang di IPD Kuching pada 16 Jun lalu.

Sementara katanya, dua suspek lelaki masing-masing mempunyai rekod kesalahan lampau jenayah manakala suspek perempuan tiada sebarang rekod.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan di lokap Balai Polis Tabuan Jaya untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru