Sunday, September 25, 2022

Selenggara pengangkutan awam lebih cekap

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesyorkan kepada Kerajaan Persekutuan, terutama sekali kementerian dan pihak berkaitan agar memastikan bukan sahaja usaha memperluas infrastruktur pengangkutan awam sentiasa dilaksanakan, malah penyelenggaran juga haruslah berjalan seiring dan diberikan perhatian sewajarnya.

Menurut beliau pihak berkenaan boleh mewujudkan mekanisme bagaimana syarikat mahupun kontraktor penyelenggara yang dilantik dapat memenuhi kewajipan mereka mengikut masa dan spesifikasi yang ditetapkan.

Kebelakangan ini, katanya menerusi kenyataan di Facebook, warga Lembah Klang sering mengalami ketidakcekapan sistem pengangkutan awam, terutama sekali bagi perkhidmatan LRT.

Selain itu, jelasnya beberapa perkhidmatan seperti mesin tiket yang sering sekali offline dan tangga bergerak yang rosak dan lambat diselenggara pula menyusahkan para pengguna terutama sekali warga emas dan wanita mengandung.

“Sistem pengangkutan awam negara, terutama sekali yang berada di Lembah Klang amat kritikal kepada denyut nadi penduduk setempat dan penggunanya. Ia juga merupakan elemen utama untuk menggerakkan ekonomi negara,” katanya lagi.

Katanya, purata pengguna LRT dan pengangkutan awam lain di sekitar Lembah Klang pula adalah mereka dari golongan M40 dan B40 dan mereka amat bergantung kepada kecekapan pengangkutan awam bagi menjimatkan kos sara hidup seharian.

“Mereka tidak mahu bergantung sepenuhnya kepada kereta dan kenderaan bermotor lain dan mahu mengoptimumkan penggunaan pengangkutan awam dalam kehidupan seharian.

“Namun begitu, amatlah mengecewakan apabila, infrastruktur pengangkutan awam yang sedia ada di Lembah Klang, kebelakangan ini kelihatan kurang diselenggara dengan baik.

Kita tidak mahu isu-isu asasi seperti kecekapan pengangkutan awam dan kurangnya penyelenggaraan mengatasi cerita-cerita kejayaan MRT, LRT dan lain-lain sistem pengangkutan awam negara,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru