Sunday, June 26, 2022

Sayap Pemuda 1828 mematangkan politik Sarawak secara menyeluruh

Secara Rawak

KUCHING: Penubuhan sayap muda ahli berusia 18 hingga 28 tahun (1828) ke dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak memberi peluang golongan belia untuk terlibat secara langsung dalam perkembangan politik di negeri ini.

Rata-rata pemerhati pergerakan belia 1828 menyambut baik penubuhan dasar tersebut sekali gus membuka ruang kepada mereka sebagai ahli parti yang turut berperanan mengetengahkan pandangan mengenai situasi politik di masa akan datang.

Ia selaras dengan penggubalan dasar undang-undang baharu yang memperuntukkan pilihan raya negara berhubung usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

Menurut Awgku Mohamad Syahril Fikri, 28, penubuhan sayap baharu 1828 merupakan platform terbaik yang didedahkan kepada belia selaras dengan dasar diperuntukkan di negeri ini.

“Platform ini bukan sahaja membuka peluang kepada golongan belia untuk lebih bersifat matang dalam perkembangan politik namun ia membuka jalan penyumbang profesional dan kemahiran kepada PBB.

“Golongan belia khususnya sayap muda 1828 akan membawa ilmu dan pemikiran baharu dalam jalan politik yang selari dengan dasar negeri Sarawak. Ia adalah langkah yang baik untuk semua,” katanya kepada Suara Sarawak.

Mengulas lanjut katanya, platform ini mampu memberi manfaat juga kepada pembangunan golongan belia terutama dalam bidang sukan dan perkembangan wanita dalam bidang perniagaan.

Muhammad Rabiul Arsyad Mohammad Lokman, 22, berkata, penubuhan itu amat tepat dengan perubahan zaman yang dilihat semakin maju susulan penggunaan teknologi semakin canggih pada masa kini.

“Saya percaya golongan belia pada masa ini akan mengambil peluang sebegini untuk lebih cakna dalam bidang politik serta mengetengahkan kepakaran mereka dalam bidang teknologi.

“Peluang sebegini adalah untuk meningkatkan kepimpinan golongan belia kita di Sarawak pada masa akan datang,” jelas beliau.

Pemerhati Pergerakan Belia 1828, Deborah Chaterine Dris, 32, percaya platform tersebut akan mematangkan politik Sarawak terhadap masyarakat di negeri ini secara menyeluruh.

“Kita melihat ramai yang masih kaku, takut, untuk masuk ke alam politik.

“Apabila PBB membuka peluang kepada sayap muda 1828, saya rasa masa ini adalah masa terbaik untuk mereka masuk supaya mereka dapat lebih memahami situasi politik di samping mematangkan lagi parti kita,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru