Friday, August 19, 2022

Platform memacu Sarawak negeri maju 2030

Secara Rawak

Inilah masa depan kita

KITA bersyukur kerana hari ini kita dapat berhimpun dan seterusnya mengimbau kembali apa-apa yang berlaku kepada Sarawak selama lima tahun yang lepas dan seterusnya mengenal pasti hala tuju ke manakah Sarawak akan melangkah. Ia adalah dalam menghadapi keadaan dan pelbagai cabaran tidak kira cabaran dalam negara mahupun cabaran di luar negara.

Cabaran pertama ialah pandemik Covid-19 yang menyebabkan kita berkurung di dalam rumah. Jika kita memutuskan untuk keluar dari rumah, timbul rasa takut akan berjangkit kepada virus ini. Tidak dinafikan ini ialah keadaan kita di Sarawak selama pandemik Covid-19 melanda.

Justeru, kerajaan Sarawak mengambil keputusan untuk menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) untuk membantu rakyat Sarawak yang terdedah kepada virus Covid-19.

Mengimbau kembali ancaman pandemik ini, banyak kehidupan rakyat telah terjejas. Mana tidaknya, rakyat hendak keluar untuk membeli barang keperluan juga susah.

Malah dari segi sektor ekonomi pula, kehidupan rakyat sangat terjejas, misalnya jika rakyat hendak menjalankan perniagaan, ia amat sukar. Ini ialah keadaan kita di Sarawak.

Tetapi Alhamdulillah, kerajaan GPS dapat menghadapi cabaran ini dengan sebaik mungkin. Malah, kerajaan Sarawak telah berusaha mencari ubat iaitu suntikan vaksin Covid-19.

Kadang-kadang vaksin lambat tiba di Sarawak. Justeru, saya bersama-sama Pengerusi JPBN Datuk Amar Douglas Uggah dengan berjumpa Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyidin Yassin dan memohon kerajaan persekutuan supaya memberi Sarawak vaksin tersebut.

Saya berkata, jika kerajaan persekutuan tidak mampu untuk membekalkan vaksin kepada Sarawak, kerajaan Sarawak bersedia untuk membelanjakan RM200 juta bagi membeli vaksin Covid-19.

Usaha ini adalah demi rakyat dan saya berfikir bahawa rakyat perlu diberi suntikan vaksin. Akhirnya, kerajaan pusat bersetuju.

Selepas itu, setelah Sarawak mempunyai vaksin, kita juga berfikir bagaimana pula kerajaan Sarawak hendak menyuntik rakyat dengan vaksin ini. Bukan mudah untuk kita memberi suntikan ini kepada rakyat di luar bandar mahupun di kawasan pedalaman.

Justeru, Sarawak mengambil langkah proaktif, menggunakan dana negeri untuk menghantar vaksin ini kepada rakyat di seluruh pelosok negeri walaupun terpaksa menggunakan helikopter, kereta, perahu dan sebagainya. Ia telah ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan GPS.

Di samping itu, dari segi cabaran orang luar masuk ke Sarawak pada pandemik lalu. Kita faham bahawa individu ini perlu dikuarantin. Di sini timbul persoalan tentang di mana kerajaan hendak meletakkan individu tersebut sepanjang tempoh kuarantin itu.

Kerajaan Sarawak mengambil keputusan untuk meletakkan individu ini di hotel selama 14 hari, malah makan minum individu ini turut ditanggung oleh GPS.

Ini kita gunakan dengan perbelanjaan kita sendiri kerana kita berkehendakkan agar rakyat terpelihara. Alhamdulillah semua dapat berjalan dengan lancar.

Akhirnya hari ini kita telah berada di fasa endemik dan boleh berjumpa di dalam dewan yang mulia ini. Usaha ini adalah disebabkan oleh pendekatan kita, menghadapi cabaran ketika itu. Amat bernasib baik Sarawak mempunyai kerajaan GPS.

Negeri lain tidak mempunyai kuarantin di hotel kerana tidak mempunyai dana. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed datang berjumpa saya bersama Awang Tengah, beliau berkata terima kasih dengan apa yang telah dilakukan oleh Sarawak dalam melawan pandemik Covid-19.

Cabaran kedua pula ialah politik negara terumbang-ambing, kerajaan persekutuan tidak pernah dalam sejarah tiga tahun tiga orang Perdana Menteri.

Terumbang-ambing, mempunyai dasar tidak jelas dan juga mempunyai cara pemerintahan terjejas. Kita risau juga, justeru nasib baik kita keluar awal kalau tak kita juga terjejas.

Sebab itu dari tahun 2018 barisan pemimpin parti tempatan berfikir bagaimana masa depan kita dan juga kita hendak meneruskan usaha memperjuangkan hak kita di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Kita mesti kuat, suara mesti kuat. Kita tidak terkongkong dengan semangat konsensus dalam Barisan Nasional.

Bagaimana kita hendak melawan. Kita hanya empat daripada 13 parti. Memang tidak dapat berjalan.

Fikir punya fikir, kita ambil jalan untuk keluar daripada BN. Apabila kita keluar, kita dapat meneruskan usaha yang telah kita janjikan dalam PBB dan juga rakan kita dalam GPS, iaitu memperjuangkan hak Sarawak di bawah MA63.

Memang kerajaan persekutuan juga memerlukan sokongan kita, justeru kita telah beritahu pemimpin di Kuala Lumpur kita hendakkerajaan persekutuan yang stabil.

Alhamdulillah ahli kita dilantik menjadi menteri dalam kerajaan pusat, Datuk Seri Fadillah Yusof, saudari Datuk Seri Nancy Shukri,Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi serta ahli lain.

Alhamdulillah, pembangunan berjalan dengan baik, terima kasih kerana Fadillah dapat meneruskan projek Pan Borneo Highway.

Wan Junaidi telah dihantar menjaga undang-undang. Bermula daripada itu, kita mengkaji undang-undang kita iaitu MA63. Justeru, inilah cabaran politik yang kita hadapi.

Ketiga, cabaran kita adalah untuk melihat perjuangan kita untuk mengambil alih kuasa yang terhakis. Ini semua kuasa Tuhan, diletakkan Tuhan Wan Juanidi menjadi Menteri Undang-undang.

Alhamdulillah Wan Junaidi dapat mengatur strategi untuk meminda perlembagaan Malaysia dan saya dalam Jawatankuasa Perjanjian Malaysia di bawah Perdana Menteri sebagai pengerusi. Kita kata Perkara 1(2) dalam perlembagaan Malaysia mesti dipinda.

Ini telah dicuba oleh Pakatan Harapan namun kita berkecuali sebab mereka tidak meminda Perkara 160 iaitu “The meaning of federation”. Sebab itu kita tak sokong, kalau mahu disokong, dua-dua perkara ini mesti dipinda.

Satu ialah kita sebagai wilayah yang menubuhkan negara Malaysia dalam perlembagaan kita dan kedua ialah takrifan Persekutuan hendaklah berteras kepada perjanjian persekutuan tanah melayu, MA63 termasuk Laporan IGC.

Ini baru boleh dikatakan selesai. Justeru kita ucap terima kasih kerana parlimen lulus perlembagaan tersebut, maka hak kita terjaga dalam perlembagaan.

Sebab itu kita berkecuali untuk PH. Kita bukan bodoh, PBB pintar orangnya, maka kita minta supaya Perkara 160 juga dipinda. Ini cabaran kita.

Alhamdulillah saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan yang telah bersetuju meminda perlembagaan tersebut. Maka perjuangan kita “Sarawak First” ialah pokok perjuangan kita dalam GPS dan juga PBB.

Cabaran kita yang lain adalah untuk mencari peruntukan. Kita bina jambatan tetapi telah dibatalkan oleh PH. Misalnya, Jambatan Batang lupar dekat RM1 bilion. Saya lihat tiang Jambatan Kemena sudah naik. Tak lama lagi disambung kabel seperti jambatan San Francisco yang menghubung Jepak dan Bintulu yang menelan kos kira-kira RM400 juta.

Dengan itu, adik kakak kita di daerah Rajang Delta, Daro, Bruit, Tanjung Manis mesti dihubungi menerusi jambatan ini.

Selepas itu, kita menghubungkannya dengan Tanjong Manis dan Paloh, membina jambatan untuk mereka yang di Kuala Rajang, kawasan Rajang Delta.

Kita di sini pula, Jambatan Rambungan pula dibatalkan (oleh Kerajaan Pakatan Harapan). Wakil rakyat ketika itu (Adun Tanjong Datu) Datuk Amar Jamilah Anu bertanyakan pula, bagaimana kita hendak membangunkan kawasan Tanjong Datu dengan tiadanya jambatan tersebut. Untuk ke kawasan ini, bukan hanya Jambatan Rambungan, ada tujuh atau lapan buah jambatan kecil lagi perlu dibina.

Semua ini telah dibatalkan mereka. Maka saya kata, kita teruskan sahaja sendiri menggunakan dana Kerajaan Sarawak membina semua jambatan tersebut. Dalam masa yang sama, saya berfikir bagaimana untuk mencari duit.

Oleh sebab itu, kita menyelesaikannya menerusi undang-undang yang ada. Iaitu berteraskan Perlembagaan Persekutuan, kita tidak dapat lari daripada perlembagaan ini, terpaksa kita membacanya sehabis-habisnya. Bagaimana untuk mencari duit, kita ada hak untuk melaksanakan Cukai Jualan Negeri (SST), ia ada dalam buku ini. Maka saya laksanakanlah SST ke atas minyak dan gas.

Seperti kata Allahyarham Tok Nan, “Terengganu, Kelantan aku tidak peduli, tetapi Sarawak aku peduli,”. Sekarang Tok Nan tiada, Abang Jo pula datang. Gunakan ini (Perlembagaan Persekutuan). Jika kita pergi ke mahkamah, ‘mereka bersilat, kita juga bersilat’, macam persembahan perasmian PBB tadi.

Saya tadi pun terkejut, masa permulaan persembahan penari-penari wanita menari dengan lemah lembut menyambut kedatangan saya. Rupa-rupanya selepas itu ia bertukar menjadi silat. Bermakna mereka menyimpan ilmu dahulu, pandai dan boleh tahan mereka ini. Begitu jugalah PBB, walaupun lemah lembut PBB, tetapi kalau dicabar akan menghadapi cabaran dengan kuat.

Inilah yang berlaku, akhirnya. Tok Nan dahulu ada menyebut tuntutan minyak dan gas sebanyak 20 peratus jika dapat, begitu juga dengan pihak pembangkang mahu memberikan 20 peratus katanya. Tetapi apabila kita laksanakan SST minyak dan gas, ia lebih daripada 20 peratus itu kita dapat. Dalam tempoh tiga tahun sahaja, Sarawak berjaya memperoleh RM8.54 bilion. Malah sekarang harga minyak dunia sudah naik, antara Dollar Amerika (USD) USD115 hingga USD120 satu tong. Perkiraan saya pula sekitar USD75 untuk bajet Sarawak, tetapi sekarang sudah USD120. Ia sekali gus menyaksikan perbezaan USD50 satu tong. Insya-Allah, apa yang rakyat minta, kita boleh tunaikan.

Tetapi itu tidak cukup, Sarawak mesti kuat daripada sudut dana. Kita mesti memerah otak berfikir bagaimana untuk mencari dana tambahan.

Justeru, kerajaan Sarawak meluluskan Rang Undang-(RUU) Kanun Tanah (Pindaan) 2022 kerana undang-undang sedia ada tidak terperinci mengenai hak ke atas udara kita, ia tidak menyebut mengenai kuasa tersebut. Maka saya meminta Peguam Negeri untuk membuat kajian perkara tersebut pada tiga tahun lalu. Saya kata, jika udara di atas tanah merupakan hak Sarawak, maka di bawah tanah juga hak kita. Betul kan?

Dan apabila kajian terbabit dibuat, saya meminta Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Ghazali (Timbalan Menteri Undang-undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) membuat kajian di seluruh dunia dan akhirnya di bawah ‘Common Law’, apa-apa sahaja di atas tanah kita sehingga ke ‘syurga’ juga merupakan hak Sarawak.

Negara antarabangsa juga ada menguruskan ruang udara mereka seperti penerbangan menggunakan perundangan seperti ini. Berdasarkan undang-undang antarabangsa, jika menandatanganinya, anda dibenarkan menggunakan ruang tersebut.

Maka kita pinda RRU tersebut dan ia diluluskan. Maka sekarang ruang udara kita ialah hak Sarawak. Sekarang semua orang menggunakan ruang udara termasuk perhubungan melalui Internet seperti Whatsapp, Instagram, dron dan sebagainya yang tidak lagi menggunakan kabel. Semua ini berdasarkan isyarat. Bermakna isyarat berjalan dalam ruang angkasa dan ia turut mengeluarkan karbon.

Maka dalam masa yang sama kita terpaksa menguruskan udara negeri menggunakan undang-undang sendiri, sesiapa sahaja hendak masuk melalui atau menggunakana udara kita, mereka mesti menyapa GPS dahulu.

Termasuk spektrum di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Akta Undang-Undang 1988. Di bawah akta ini, sebelum boleh mengagihkan spektrum, anda perlu meminta kebenaran daripada pihak yang mempunyainya terdahulu.
Bermakna, anda mesti meminta izin daripada Sarawak dahulu sebelum boleh menggunakannya. Ini saya tahu berdasarkan istilah digital, ia sekali gus akan memberikan pulangan pendapatan yang agak boleh tahan. Ini baru ruangan udara, dan dalam masa yang sama kita meminda undang-undang hutan.

Hari ini saya mahu berkongsi dengan anda, bahawa karbon kredit ini, ia akan memanaskan udara dan merupakan satu cabaran bagi kelangsungan hidup manusia serta planet. Kepanasan ini kalau ia lebih daripada 1.5 darjah celsius, akibatnya dalam 50 tahun dunia akan mengalami malapetaka. Yang keluar daripada karbon akan menjadi karbon dioksida sebanyak 82 peratus, maka sebanyak 82 peratus itulah karbon di dalam udara kita. Gas metana pula sebanyak 10 peratus, nitron oksida sejumlah enam peratus dan lain-lain gas dua peratus, maka dioksida inilah yang paling memanaskan udara dunia.

Apabila udara panas ia akan membawa haba. Kemudian kita menyedut karbon dioksida yang memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia. Justeru, dunia hendaklah menurunkan pengeluaran karbon, maka sebab itu Sarawak memainkan peranan dengan meminda undang-undang negeri.

Saya pergi ke Rotterdam, Belanda dan berjumpa pengerusi Shell serta pakar dalam masalah ini baru-baru ini. Mereka memberitahu di dalam dunia, hanya ada empat tempat yang boleh dijadikan tempat penyimpanan karbon kerana kedudukan geografi yang stabil, tanah tidak bergerak dan di luar lingkaran api pasifik.Di dunia ada empat sahaja, satu daripada empat adalah di kawasan kita, Kepulauan Borneo.

Sebab itu, kita mesti meminda RUU tersebut sekarang untuk membolehkan negeri mempunyai tempat pengambilan dan penyimpanan karbon (CCUS). Ia boleh ditangkap, cara menangkap karbon itu agak rumit. Jika menyimpan di rumah kita dan orang luar hendak menumpang mesti meminta kebenaran dan ia tidak percuma kerana perlu dibayar. Begitu juga untuk oksigen yang keluar daripada pokok kita. Mereka yang mahu perlu membayar dan di bawah Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dari Kyoto hingga ke Paris ke Glasglow, mereka mempunyai pembayaran standard dalam penyimpanan karbon.

Jadi kita di PBB telah mengorak langkah, seiring dengan dunia. PBB bukan lagi parti kampung, kita hari ini telah melangkah satu langkah ke hadapan seiring dengan apa-apa yang berlaku di dunia. Sebab itu saya dijemput oleh negara Belanda untuk memberi ucapan, bukan hendak meninggikan diri, saya sangat rendah diri, tetapi dunia mengiktiraf potensi yang ada di Sarawak dan Malaysia.

Jadi ini keadaan hari ini, banyak pihak datang melabur ke Sarawak. Beberapa hari lalu, Jerman, Belgium dan Korea datang ke sini bertanyakan mengenai Sarawak Energy. Malah Korea Selatan hendak menangkap karbon dan menyimpan karbon di sini. Saya katakan boleh dan kita akan menjalankan kajian kerana ini menjadi pendapatan tambahan Sarawak yang boleh menjadi lebih daripada SST.

Oleh sebab itu, apabila kita melihat potensi Sarawak begitu baik, saya cadangkan penubuhan Dana Kekayaan Berdaulat berdasarkan lebihan pendapatan. Seperti negara Norway yang sudah menubuhkan dana tersebut sejak 1976 dengan permulaan USD1.4 bilion, hari ini sudah mencecah USD1.3 trilion. Mereka hanya mengambil empat peratus untuk kegunaan kerajaan, manakala yang lain disimpan menjadikan mereka salah sebuah negara terkaya di Eropah.

Maka, jika Norway boleh, Sarawak juga boleh dan kita mempunyai cara mencari dana daripada pelbagai sumber yang ada yang kemudian ditambah nilai, seterusnya kita bangunkan seluruh pelosok Sarawak.

Ya, itu niat kita dan niat kita mesti betul. Tuhan akan menolong orang yang mempunyai niat betul dan baik. Saya menjadi ketua kerajaan selama lima tahun, pihak Parti Tindakan Demokratik (DAP) mengatakan Sarawak akan muflis kerana memberi peruntukan RM10 bilion setahun, bajet besar yang tidak pernah diberikan sebelum ini. Sekarang sudah lima tahun, kita belum lagi muflis. Bahkan agensi penafaran dunia memberikan kita tiga bintang, 3A atas pengurusan kewangan yang baik. Jadi tidak ada masalah untuk kita membina semua jambatan yang disebut tadi, Tuhan sudah memberikan saya ilham.

Pada perhimpunan agung terdahulu, saya mula membuat SST. Malam sebelumnya pula saya membaca buku Perlembagaan Persekutuan, ia ada menulis mengenai peruntukan SST yang kemudian kita tuntut kerana merupakan hak Sarawak. Saya menggunakan perlembagaan ini dan syukur dalam tiga tahun memperoleh RM8 bilion, dan ia bertambah lagi. Yang penting niat mesti betul.

Saya hendak kongsi tentang bahasa. Kita di Sarawak telah terima bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dan juga kita masih mengekalkan bahasa Inggeris sebagai satu lagi bahasa yang boleh digunakan untuk berkomunikasi.

Di bawah Perkara 161 dan juga kurungan 3. “Without prejudice to Clause (1), no such Act of Parliament as is there mentioned shall come into operation as regards the use of the English language for proceedings in the High Court in Sabah and Sarawak or for such proceedings in the Federal Court or the Court of Appeal as are mentioned in Clause (4), until the Act or the relevant provision of it has been approved by enactments of the Legislatures of the States of Sabah and Sarawak; and no such Act shall come into operation as regards the use of the English language in the State of Sabah or Sarawak in any other case mentioned in paragraph (b) or (c) of Clause (2), until the Act or the relevant provision of it has been approved by an enactment of the Legislature of that State.”

Bermakna kita boleh lagi menggunakan bahasa Inggeris dan kita hendak masuk ekonomi digital, ekonomi sekular, hidrogen dan istilah-istilah ini adalah dalam bahasa Inggeris yang susah hendak diterjemah.

Jadi bermakna kita mesti praktikal, bukan saya tidak sealiran dengan dasar kebangsaan. Ada orang kata Abang Jo isytihar di Sarawak untuk tidak mengikut dasar kebangsaan. Bukan! saya ikut tapi saya juga ada hak di bawah buku (undang-undang) ini. Jadi kita pergi luar negara, baru orang Sarawak. Bahasa Ingeris, boleh. Bayangkan kalau saya pakai bahasa Malaysia di Rotterdam. Jadi kena praktikal, bukan bermaksud kita menentang dasar kebangsaan. Saya kena jelaskan perkara ini.

Kita berkisar kepada buku (undang-undang). Saya bukan bercakap dari angin, kita di PBB tidak bercakap dari angin, walaupun kita ada Gua Angin di Bau. Kita berdasarkan fakta, kemudian interaksi. Sebab itu dalam konvensyen PBB juga kita guna bahasa Inggeris sebab ahli PBB berbilang bahasa.

Ini cara kita hendak membangun, negeri kita kecil. Kita tidak dapat banding dengan China, Amerika, Eropah, biar kita kecil tapi cili padi, biar kecil asal pedas. PBB pedas.

Ini saya hendak kongsi dalam konvensyen kita, selepas tiga tahun saya mahu kemas kini apa telah diperjuangkan PBB, kejayaan kita dan kita sudah ada dasar Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 (PCDS 2030). Kita memerah otak untuk melihat masa depan pada 2030.

Pertanian kita hendaklah moden, gunakan IoT. Selalunya orang tidak mahu masuk pertanian sebab gambarnya sangat pelik, gambarnya mesti bertopi, cangkul, muka susah.

Sekarang pertanian pakai dron, baja digugurkan guna dron, itu cara baru. Di Singapura pertanian ‘vertikal’, kita banyak tanah tapi masih susah tidak cukup bekalan makan, terpaksa import makanan.

Sekarang sudah ada padi tiga musim, tapi sebelum tanam padi mesti ada benih. Keluarkan benih, jadi saya suruh Dr Rundi (Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Datuk Sri Dr. Stephen Rundi Utom) cari benih banyak-banyak bukan sahaja padi tapi buah-buahan. Negeri kita cukup…hujan cukup, panas cukup, semua cukup sebab itu kita bersyukur kepada Tuhan kerana sumber kita.

Kita jana elektrik pakai hidro, pakai air. Sekarang pun air boleh dipecah kepada hidrogen dan oksigen. Kedua kita ada cukup hujan, kita boleh gunakan solar yang terapung. Cukup Tuhan beri dengan kita.

Nabi kita berpesan kalau hendak tuntut ilmu biarlah pergi ke China, sebab tamadun di China lebih maju. Pada masa itu, mereka sudah ada mesin cetak, dulu al-Quran ditulis menggunakan kulit kayu, waktu itu juga China sudah keluarkan mesin cetak. Sebab itu Nabi kata tuntutlah ilmu, jadi PBB mesti tuntut ilmu walaupun di Rotterdam. Kita mesti tuntut ilmu, apabila seluruh rakyat mempunyai sukatan pelajaran yang terkini maka Sarawak akan menjadi wilayah yang termaju pada 2030.

Sudah menjadi niat saya, kalau kita ada lebihan dana, kita labur dana berdaulat…kalau pulangannya banyak, kita berikan pendidikan kalau boleh percuma kepada anak Sarawak supaya ilmunya meningkat dan mereka berkeliaran untuk menggunakan hasil yang ada di Sarawak untuk menambah rezeki dan Sarawak akan menjadi wilayah yang agak maju.

Hari ini pun kita mengeluarkan elektrik untuk jiran kita, Indonesia. Hari ini pun kita sudah ada perjanjian untuk bantu Sabah, keluarkan elektrik di Sabah. Kita juga sudah ada perjanjian untuk mengeluarkan elektrik ke Brunei dan sekarang ini perbincangan antara kita dengan Singapura yang juga berkehendakkan kita mengeluarkan elektrik kalau kita ada lebihan elektrik.

Jadi saya beritahu Singapura, Sarawak hanya boleh beri maksimum 1,000 megawatt, tidak lebih daripada itu tapi kalau mereka mempunyai sebarang pelaburan berkaitan tenaga, bawa ke Sarawak dan mereka bersetuju. Pusat data ialah nadi bagi ekonomi digital seperti Microsoft, Google, Amazon dan mereka berkehendakkan tenaga. Singapura mungkin tidak dapat keluarkan tenaga, kenapa tidak kita bekerjasama, biarlah Microsoft, Amazon datang ke Sarawak dan tubuhkan pusat data di Sarawak.

Jadi inilah yang saya hendak kongsikan dan mudah-mudahan PBB sentiasa siap sedia menghadapi pilihan raya. Kalau kita sudah menang 47 kerusi, kita sapu 47 kerusi, dan jangan terlalu sombong dengan kemenangan tapi kerja kuat secara rendah diri. Kita menang 76 daripada 82 kerusi menerusi GPS dan rakan kita, jadi saya yakin jika kita bekerjasama, bersatu hati, bersatu tenaga akan dapat menyapu 31 kerusi dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang. Ini kita serah kepada Tuhan yang maha esa tapi kita mesti berusaha.

Biarlah kita keluar dari sini nanti, kita fikir masa depan. Kita mengalu-alukan ‘1828’. Kita mahu ‘1828’ bersama-sama dengan kita, PBB memang berkehendakkan mereka. Hari ini PBB menyediakan masa depan untuk mereka. Kita tubuhkan dana berdaulat untuk mereka termasuk mereka yang belum lagi lahir.

Ini adalah untuk masa depan mereka, biar kita bekerja hari ini untuk mereka. Sebab itu kita tidak takut mereka turunkan umur mengundi kepada 18 tahun, kita tahu mereka yang berumur 18 tahun juga bersama-sama kita kerana kita menjaga mereka.

Jadi inilah masa depan kita, saya mengucapkan tahniah kerana kita dalam satu nada yang sama termasuk rakan kita dalam GPS.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru