Sunday, June 26, 2022

Pergerakan Belia PBB ditubuhkan selepas pindaan perlembagaan parti diluluskan

Secara Rawak

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menubuhkan Pergerakan Belia parti itu berkuat kuasa selaras dengan pindaan Perlembagaan parti yang akan dibentang oleh Pengerusi Tetap PBB, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar pada Ahad.

Penubuhan itu termasuk dalam 15 perkara yang dipinda dalam perlembagaan parti berdasarkan buku usul yang diedarkan kepada perwakilan.

Ia melibatkan penyenaraian Artikel 23A yang baharu di bawah tajuk Pergerakan Belia PBB selepas Artikel 23.

Dalam artikel tersebut memperuntukkan Majlis Tertinggi berkuasa menubuhkan Pergerakan Belia PBB dalam semua peringkat parti dan membuat peraturan mengenainya.

Keanggotaan Pergerakan Belia PBB merangkumi kesemua ahli biasa sama ada lelaki atau perempuan berusia antara 18 hingga 28 tahun.

Artikel 23A juga menyatakan tujuan penubuhan sayap baharu itu iaitu menggalakkan ahli-ahlinya menceburkan diri dalam lapangan siasah, ekonomi, pelajaran, kebudayaan, kesenian dan sukan.

Antara lain, menjalinkan kerjasama dengan badan-badan atau pergerakan lain yang berdaftar sepertimana yang dipersetujui oleh Majlis Tertinggi.

Ia merupakan usul khas di bawah Artikel 34(2) untuk meminda Perlembagaan Parti PBB Sarawak seperti yang dipersetujui semasa mesyuarat Majlis Tertinggi PBB yang dipengerusikan oleh presiden parti, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 29 Mei 2022.

Untuk rekod, dalam mesyuarat sama Majlis Tertinggi PBB bersetuju supaya cadangan pindaan itu dibuat semasa Perhimpunan Agung PBB mengikut suara ramai di bawah Artikel 34(1) Perlembagaan Parti PBB Sarawak.

Turut dipinda, Artikel 8(1)(b), Artikel 8(3), Artikel 12, Artikel 13(50, Artikel 14(1)(c), Artikel 14(1)(l), Artikel 15(6), Artikel 18(4), Artikel 23(1)(a), Artikel 23A, Artikel 25(2), Artikel 25(3), Artikel 33, Artikel 38 dan Artikel 38(2).

Mengenai Artikel 12(3) ia melibatkan perkara berkaitan pembatalan atau pelucutan keahlian dalam Parti PBB.

Artikel tersebut memperuntukkan keahlian seseorang anggota terhenti secara serta-merta apabila berlaku ahli tersebut meminta untuk berhenti berdasarkan Artikel 12(1).

Selain itu, keahlian juga terbatal apabila ahli tersebut mengisytiharkan keluar parti, menyertai atau menjadi ahli parti politik lain di negara ini.

Antara lain, bertanding dalam pilihan raya tanpa kebenaran parti atau sebagai calon bebas atau calon mana-mana parti atau bertindak sebagai pencadang, penyokong dalam kertas penamaan calon bebas atau calon parti lawan.

Keahlian tersebut juga akan terbatal sekiranya ahli dipecat melalui proses tatacara disiplin, kes mahkamah dan hilang kewarganegaraan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru