Tuesday, August 16, 2022

Bot nelayan ditahan

Secara Rawak

BINTULU: Sebuah bot nelayan tempatan Kelas C ditahan  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu selepas didapati melakukan aktiviti penangkapan ikan di zon yang tidak dibenarkan.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar  Saad berkata, bot nelayan terbabit ditahan sekitar jam 1.05 petang Rabu kira-kira 6.5 batu nautika dari Tanjung Kidurong.

Menurutnya, tangkapan dibuat berikutan aduan komuniti nelayan setempat mengenai aktiviti segelintir bot nelayan tempatan yang menceroboh kawasan pesisir pantai dan merosakkan peralatan menangkap ikan nelayan-nelayan kecil khususnya nelayan pesisir pantai.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot dikendalikan oleh lima kru warga Indonesia termasuk seorang tekong tempatan berumur 21 hingga 47 tahun mempunyai dokumen yang sah.

Katanya, kesemua awakawak, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan 4,000 kilogram ikan campur diiringi masuk Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan yang boleh dikenakan kompaun Jabatan Perikanan Malaysia,”ujarnya.

Tegas Mohd Khairol lagi, Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan dan undangundang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

Sebarang maklumat serta aduan tentang aktiviti yang mencurigakan ataupun kecemasan di laut laporkan melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru