Friday, August 19, 2022

130 Hadiri Perkhemahan Pengakap Kanak-Kanak Tunas Udara

Secara Rawak

SIMUNJAN: 18-19 Jun 2022: Perkhemahan Pengakap Kanak-Kanak Tunas Udara dua hari di SK Semangkoi, Simunjan yang dihadiri oleh 130 orang pengakap kanak-kanak bertujuan untuk mendedahkan peserta kepada pergerakan pengakap udara.

Peserta perkhemahan ini terdiri daripada ahli pengakap kanak-kanak dari Daerah Simunjan, Samarahan, Serian, Siburan, Matang dan Julau. Pendedahan awal ini dapat membangkitkan keinginan kanak-kanak terhadap industri penerbangan dan juga bidang pengendalian pesawat.

Dalam ucapan di majlis penutupan perkhemahan ini, Kapten Zainuddin bin Tan Sri Hamdan, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak berkata dalam pergerakan Pengakap, tiap-tiap bahagian mempunyai keunikan dan unit Pengakap Udara ini menawarkan skim latihan yang tersendiri yang selain melatih ahli-ahli dalam ilmu Pengakap, skim ini mengaitkan ilmu Pengakap itu dengan ilmu penerbangan (aviation) dan pengendalian pesawat.

Beliau berkata, pada hakikatnya, kanak-kanak yang mempelajari ilmu Pengakap dapat menggembangkan daya pemikiran yang lebih holistik dalam berdepan dengan kehidupan masing-masing.

“Ahli-ahli Pengakap Kanak-Kanak Tunas Udara yang menjalani latihan asas yang terdapat dalam skim latihan Pengakap Kanak-Kanak Tunas Udara ini berpeluang untuk memahami suatu bidang yang sangat berprestij untuk diceburi oleh mereka apabila mereka menjadi dewasa nanti,” tambah beliau.

Beliau berharap agar pengakap kanak-kanak yang didedahkan kepada skim latihanpengakap udara ini dapat memahami industri penerbangan yang berkembang pesat dan memerlukan tenaga pekerja yang banyak dari masa ke masa.

Yang turut hadir dalam majlis penutupan ialah Tay Wei Wei, pesuruhjaya pengakap udara Sarawak, Mohammad Azhar bin Ramli, pesuruhjaya pengakap Daerah Samarahan, Jong Chiew Kee, guru besar SJK Chung Hua Bako.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru