Friday, August 19, 2022

Rogol pelajar 13 tahun: Tiga lelaki dipenjara

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Tiga lelaki dihantar ke penjara selepas mereka gagal dalam rayuan terakhir di Mahkamah Rayuan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara kerana merogol pelajar perempuan berusia 13 tahun, pada 2018.

Menurut Bernama, Rosli, 23; dan Amyrul, 25; masing-masing diperintah oleh Mahkamah Rayuan menjalani hukuman penjara 20 tahun, manakala seorang lagi rakan mereka berusia 20 tahun (ketika kesalahan itu dilakukan berusia 17 tahun), diarah menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hadhariah Syed Ismail, Lee Heng Cheong dan Nordin Hassan menolak rayuan mereka selepas mendapati rayuan mereka tidak mempunyai merit.

Pemuda itu masing-masing diikat jamin RM30,000 sementara menunggu rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.

Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun berhampiran pantai Bachok, Kelantan, pada 3 pagi, 27 Mei 2018.

Mereka didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara oleh Mahkamah Sesyen, pada 14 Mei 2019, dan keputusan itu dikekalkan Mahkamah Tinggi, pada 3 Feb, tahun lalu.

Dalam keputusan mahkamah untuk mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi, Hadhariah berkata, kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan dalam keputusannya.

Peguam Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Asmadi Husin mewakili pemuda itu, manakala Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud dan Aida Khairuleen Azli hadir bagi pihak pendakwaan. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru