Sunday, June 26, 2022

Pesanan terakhir buat bungaku

Secara Rawak

Tanggal 11 Jun 2022 adalah tarikh yang sangat bersejarah kepada Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) kerana pada tarikh itu tepat pada jam 9.30 malam, dalam satu majlis gilang – gemilang dengan penuh adat istiadat Melayu Sarawak ,bertempat di sebuah hotel terkemuka di Bandaraya Kuching, majlis pemasyuran penaung PKMS ke-3 telah diadakan .

Tan Sri Datuk Amar Abang Haji Ahmad Urai bin Datu Hakim Abang Haji Mohideen yang hanya mahu dikenali sebagai Udak Ahmad   telah dilantik dan dimasyurkan sebagai penaung PKMS .

Selama hampir 16 tahun PKMS tidak mempunyai penaung lantaran terlalu berhati-hatinya PKMS mengenalpasti dan mencari pemimpin Melayu yang berwibawa, dihormati dan disegani untuk memimpin pertubuhan Melayu yang tertua dan terunggul di Bumi Sarawak ini.

Setelah sah dimasyurkan sebagai penaung PKMS, Allahyarham sebagai peminat dan penggiat seni pada zaman remajanya, berkenan untuk menyanyi beberapa buah lagu asli yang sangat Allahyarham minati.

Antara lagu klasik yang Allahyarham dendangkan pada malam itu ialah ‘Selamat Tinggal Bungaku’ yang pernah didendangkan oleh Allahyarham Datuk Ahmad Jais.

Pada keesokan harinya semua ahli majlis Tertinggi PKMS dan ahli-ahlinya, serta masyarakat Melayu di Sarawak dikejutkan dengan berita menggemparkan yang tidak diduga.

Penaung PKMS yang baru dilantik dan dimasyurkan pada malam sebelumnya telah berpulang kepada Illahi pada jam 12.30 tengah malam, tanggal 12 Jun 2022 di sebuah hospital swasta di Petra jaya Kuching, pada usia 88 tahun.

Apa yang mengharukan ialah hari puja usia Allahyarham ke-89 tahun hanya berbaki 14 hari sahaja lagi iaitu pada 26 Jun 2022.

Sesungguhnya Allahyarham benar-benar mengucap ‘selamat tinggal’ kepada semua teman-taulan, dan bangsanya dengan cara yang sangat puitis sekali. Masih terngiang-ngiang bait-bait lagu ‘Selamat Tinggal Bungaku’ yang dinyanyikannya malam itu.

Suasana kesedihan menyelubungi hati sanubari setiap insan yang mengenalinya. Demikian pemergiannya yang sangat mengejutkan semua ahli PKMS dan bangsa Melayu di bumi Sarawak yang tercinta ini.

Dalam beberapa pertemuan dan bersembang santai dengan Allahyarham, Allahyarham kerap menekankan beberapa perkara penting dalam usaha orang Melayu bagi mewujudkan keharmonian dan perpaduan merentasi kaum ,bangsa dan agama di negara yang berbilang kaum dan masyarakat majmuk seperti negara kita ini . Ada beberapa buah pandangan Allahyarham yang sangat ideal dan jitu dalam kehidupan bermasyarakat , yang perlu dijaga dan dipatuhi seandainya kelestarian , keharmonian dan perpaduan  hendak terus diwujudkan.

Perkara ini diutarakan Allahyarham dalam  sesi sembang santai bersama pemimpin PKMS yang dijemput ke kediaman Allahyarham untuk majlis makan tengahari dan beramah mesra pada 27 Mei 2022 yang lalu .

Hidup berpandukan Al-Quran dan Hadis

Kepada anak-anak muda Melayu Islam khasnya Allahyarham mengesyorkan agar para belia Islam memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan dan berdidikasi dalam mengharungi hidup yang sangat mencabar dewasa ini.

Pengalaman Allahyarham pada zaman remajanya memimpin para belia di kampungnya, dikongsikannya agar para belia Melayu tidak melupai dan menjauhi ajaran dan pedoman hidup daripada Al-Quran dan hadis.

Allahyarham yakin andai ajaran Al-Quran dan Sunnah dipelajari, dan dihayati dengan penuh keyakinan serta diamalkan dalam kehidupan seharian , sebagai panduan mengharungi kehidupan, para belia Islam tidak akan mudah terjerumus dan terjebak dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti yang kita saksikan berlaku pada hari ini .

Pengalaman masa remajanya mendewasakan Allayarham, dan ini mahu dikongsikannya kepada anak-anak bangsanya, agar mereka berjaya menempuhi hidup ini dengan penuh yakin , berjaya , beritegriti dan bermaruah .

Jasa Allahyarham terhadap pembangunan Islam di kawasan Satok sangat dihargai dengan terbinanya Masjid Darul Ihsan yang kemudiannya dikenali sebagai Masjid Al-Hakim di Jalan Muda Hashim. Masjid ini merupakan jasa Allahyarham yang tidak pernah putus kepada pembinaan khaira Ummah di Kuching.

Menjaga Hati

Pada pandangan Allahyarham ,satu aspek penting yang perlu dititberat dalam hidup berkeluarga dan bermasyarakat ala timur di alam Melayu ialah kita hendaklah menjaga hati ahli-ahli keluarga dan masyarakat kita.

Pepatah lama Melayu mengingatkan kita agar berhati-hati dalam segala tindak-tanduk dan tutur kata kita kerana ‘ telajak perahu boleh diundur,telajak kata buruk akibatnya’,‘ ikut hati mati,ikut rasa binasa’, ‘ cakap siang pandang-pandang , cakap malam dengar-dengar’,’ hidup di dunia biar beradat,bahasa tidak mampu dijual beli,’ ‘ bahasa menunjukan bangsa,’ dan banyak lagi peribahasa dan pepatah Melayu dalam melambangkan betapa pentingnya menjaga hati dan hormat diri orang lain dalam adat istiadat hidup orang Melayu di nusantara ini.

Banyak berlakunya perpecahan dan pertikaian dalam temadun manusia hingga membawa kepada kehancuran dan kemusnahan akibat sikap yang tidak memperdulikan atau menjaga hati orang lain.

Allayarham telah banyak menyaksikan masalah masyarakat kita bila hati dan perasaan golongan tertentu dilepas pandang dan tidak dijaga. Akibatnya berlaku geseran dan krisis –krisis kecil yang akhirnya menjadi rumit dan kompleks hingga payah diselesaikan.

Pada hemat Allahyarham dalam membuat apa-apa keputusan dan pendirian,walaupun sekecil mana, hati setiap yang terlibat hendaklah dijaga dan diberi pertimbangan  yang sewajarnya agar segala keputusan itu tidak mengecil hati orang lain .

Sebab itulah dalam masyarakat Melayu cukup berhati-hati dan sangat sensitif dalam menjaga hati  semua pihak agar dapat hidup dalam harmoni tanpa adanya yang bersingit dan berkecil hati. Halus budi pekerti, berbudi-bahasa, sopan-santun dan lemah –lembut adalah ramuan budaya Melayu yang cukup tinggi nilainya dalam menjaga hati setiap ahli anggota masyarakatnya.

Ini adalah tunjang kelangsungan dan kebesaran bangsa Melayu di nusantara ini, yang berjaya membawa temadun dan kemandirian bangsa dan masyarakat Melayu terus wujud dan dihormati oleh masyarakat pelbagai bangsa keseluruhannya.

Inilah yang membolehkan bangsa Melayu diterima sebagai penaung,pemimpin dan penyelamat kehancuran bangsa dan temadun Melayu berabad-abad lamanya di seluruh nusantara.

Dalam adat Melayu setiap anak harus menjaga hati orang tuanya, setiap keluarga harus menjaga hati jiran tetangganya , dan setiap orang harus menjaga hati kaum-kerabatnya. Hanya dengan cara yang demikian barulah wujudnya hidup berharmoni dan menghormati antara satu dengan yang lain.

Budaya halus inilah yang dipraktikan dan sangat diutamakan oleh Allahyarham dalam hidupnya hingga sampai ke akhir hayatnya di mana para sanak saudara , sahabat handai serta kaum keluarga yang jauh dan dekat sentiasa senang dan dekat dengan Allahyarham. Pangkat , darjat dan keturunan tidak menghalang Allahyarham untuk terus mesra pada kaum – kerabat , rakan taulan dan sanak saudara.

Bahkan dalam kalangan sanak-saudara Allahyarham lebih senang dikenali sebagai ‘Nek Udak atau Udak Ahmad’ saja .

Kerendahan diri Allahyarham dalam pergaulannya inilah membuat Allahyarham disenangi dan diterima mesra oleh sesiapa saja yang mengenalinya.

Kini Allahyarham sudah pergi untuk selama-lamanya. Segala kepedulian dan keperihatinannya menjaga hati semua yang dikenalinya, akan tetap menjadi kenangan mereka yang mengenalinya.

Benar kata-kata Allahyarham P Ramlee dalam lagu ‘ Di manakan ku cari ganti ?’ , kerana Allahyarham telah pergi buat selama-lamaya mendahului kita semua.

Memelihara Perpaduan

Pengalaman hidup Allahyarham yang panjang selama hampir sembilan dasawarsa itu telah menyaksikan banyak kali perpaduan orang-orang Melayu di Sarawak dan di seluruh Asia Tenggara ini tercalar akibat pelbagai krisis yang sangat runcing dan kritikal.

Allahyarham menyaksikan betapa berpecahnya orang Melayu di Sarawak akibat peristiwa penyerahan Sarawak kepada Kerajaan Kolonial pada tahun 1946.

Kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia pada tahun 1963 Konfrontasi Indonesia terhadap Malaysia, peristiwa Ming Court pada tahun 1987,  dan  lainnya semua sebagai iktibar kepada kita semua betapa pentingnya perpaduan antara bangsa dan kaum perlu diperkukuh dan dipertahankan seandainya kita mahu hidup aman damai .

Allahyarham memainkan peranan yang sangat penting di sebalik tabir dalam meredakan perpecahan dan menangani krisis tempatan dan nasional untuk memastikan perpaduan dapat terus diwujudkan dan kehidupan berbaik-baik dengan orang lain dapat dilangsungi. Ini memboleh hubungan persaudaraan serumpun dengan negara-negara jiran seperti Indonesia dan Brunei Darusalam dapat kekal erat dan dalam harmoni.

Berbaik-baik Dengan Orang Lain

Antara perkara penting yang ditekankan Allayarham dalam sesi sembang santainya bersama para pemimpin PKMS di kediamannya pada 27 Mei 2022 itu ialah tentang peri pentingnya kita hidup berbaik-baik dengan orang lain .

Pada pandangan Allahyarham kita tidak boleh mewujudkan suasana keterasingan dan menyendiri dalam kehidupan kita. Keberadaan orang lain di sekeliling kita perlu dihormati dan disantuni istimewa sekali kalau ianya melibatkan pelbagai kaum, agama dan budaya .

Sikap melampau dan tidak menghormati dan memperdulikan keberadaan orang lain hatta bangsa lain , sangat merbahaya dalam masyarakat majmuk seperti di negeri dan negara kita. Sejarah negara kita telah menyaksikan para pelampau agama dan budaya telah mencetuskan banyak ketegangan politik dan agama yang boleh membawa kepada pertelingkahan serius dan kesan reaksi emosi yang berangkai-rangkai.

Andai ini tidak ditangani dengan bijak dan berwibawa, boleh membawa kepada perbalahan serius yang boleh meremuk dan menghancurkan sesebuah negara .

Sebagai bangsa yang bermoral dan bertemadun kita hendaklah menerima kehadiran orang lain seadanya dengan penuh kefahaman, hormat dan jati diri yang tinggi .

Allah Yang Maha Berkuasa telah menjadikan kita berbeza-beza supaya kita mengenal akal budi antara satu dengan yang lain, dan boleh hidup bersama dengn menghormati pelbagai perbezaan antara kita.

Perbezaan antara kita haruslah menjadi elemen untuk perpaduan dan penyatuan, bukannya untuk memecahbelahkan kita.

Tuntasnya andainya kita menghormati dan berbaik-baik dengan orang lain dengan baik sangka dan penuh hormat , perbezaan antara kita akan dapat merapatkan hubungan dan melempar jauh buruk sangka yang negatif dan merbahaya.

Menyumbang Kepada Kemajuan PKMS dan Orang Melayu

Allahyarham berhasrat hendak melibatkan diri dalam usaha meningkat kewibawaan PKMS supaya kembali semula unggul sebagai sebuah persatuan yang tertua dan dihormati seperti zaman silamnya. Ini sejajar dengan kedudukan Allahyarham sebagai seorang yang dihormati dan disegani di kalangan masyarakat Melayu di Kuching dan Sarawak khasnya. Hasrat murni Allahyarham itu diterjemahkan dengan menerima cadangan perlantikan Allahyarham sebagai penaung PKMS yang ke-3.

Allahyarham sudah mengesyorkan beberapa perkara untuk membantu PKMS agar dapat bergerak dengan aktif dan efektif sebagai sebuah pertubuhan Melayu.

Impian Allahyarham untuk melihat perkarangan rumahnya yang berinspirasikan senibina Minang dan Kampar menjadi pusat kegiatan kebudayaan Melayu adalah satu cara untuk menyokong industri keseniaan dan pelancongan yang menampilkan kepelbagaiaan produk menarik pelancongan di sekitar Kuching, khususnya di Kampung-kampung Melayu di pesisiran sungai Sarawak.

Memang benar kata-kata bijak pandai, kita hanya boleh merancang , Allah jualah yang menentukan segala-galanya. Pada awal pagi Ahad 12 Jun 2022 Allahyarham telah dijemput buat selama-lamanya. Seakan-akan Allahyarham telah meninggal pesanan terakhir kepada kita semua menerusi bibit-bibit madah dalam lagu ‘ Selamat Tinggal Bungaku ’ yang didendang Allahyarham kepada anak-anak Melayu dan bangsanya sebagai mutiara ingatan dan selamat tinggal kepada kita semua.

‘ Selamat tinggal bunga ku

Aku bermohon pergi dahulu

Ingatlah pesanan ku ini

Jaga baik diri sendiri .

Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan  bersama orang-orang yang beriman .

Aamiin yaa rabbal ’aalamiin

Editorial Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS)

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru