Sunday, June 26, 2022

Suspek pecah rumah di Rampangi ditahan kurang 24 jam

Secara Rawak

KUCHING: Polis berjaya menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah dan curi di Rampangi, di sini dalam tempoh kurang 24 jam.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, suspek warga tempatan itu melakukan kegiatan pecah rumah dan curi yang dilaporkan pada 11 Jun lalu.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Balai Polis Santubong menangkap suspek kira-kira jam 9.40 malam di tempat letak kereta sebuah pasar raya pada 12 Jun.

“Pasukan polis telah berjaya merampas satu unit topi keledar dan satu unit telefon bimbit milik pengadu.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek memiliki lapan rekod pelbagai kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, suspek telah dituduh pada 16 Jun dibawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan atas kesalahan memiliki barang curi.

“Tertuduh juga telah diberi ikat jamin oleh Mahkamah sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan dan tertuduh telah membayar ikat jamin tersebut,” tambahnya.

Katanya, kes disebut semula pada 21 Jun ini.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru