Friday, August 19, 2022

SOP ketat Festival Hutan Hujan Sedunia

Secara Rawak

KUCHING: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyasarkan sebanyak 12,000 tiket terjual sempena Festival Hutan Hujan Sedunia (RMWF) mulai 17 hingga 19 Jun ini.

Menurutnya, acara berlangsung selama tiga hari ini bakal menampilkan kelainan berbanding pelaksanaannya, tiga tahun lalu. “Acara ini diadakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kepada pengunjung dan juga peserta yang menyertainya.

“Selain diadakan secara hibrid, program kali ini juga bakal ditayangkan menerusi siaran langsung di platform media sosial yang boleh ditonton oleh masyarakat di rumah masingmasing,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa sesi lawatan tapak Festival Hutan Hujan Sedunia (RMWF) di Kampung Budaya Sarawak, pada Rabu. Seperti biasa, festival ini menampilkan pelbagai persembahan menarik daripada artis tempatan dan luar negara kepada pengunjung yang hadir.

“Festival RWMF ini juga bukan sahaja menumpukan tentang keindahan muzik malah turut lebih mendalami agenda pelancongan bertanggungjawab Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan memperkenalkan inisiatif hijau baharu yang dikenali program ecoGreenPlanet.

“Program ini memberi peluang kepada pengunjung festival dalam talian supaya memainkan peranan menyelamatkan alam sekitar dengan menyalurkan kutipan tiket yang dibeli untuk aktiviti penanaman pokok diadakan selepas festival ini,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif STB, Sharzede Datuk Salleh Askor berkata, pihaknya menyediakan lebih 15 bas di setiap perhentian yang ditetapkan menuju ke Kampung Budaya Sarawak di tapak lokasi festival.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru