Tuesday, August 16, 2022

Perlukan pelbagai profesional

Secara Rawak

KUCHING: Persidangan Masa Depan Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) di Sarawak satu langkah baik membangunkan dan mengasah bakat rakyat untuk membina komuniti lebih kukuh. Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, sudah tiba masa untuk rakyat Sarawak terlibat dalam mekanisme ADR.

“Sarawak memerlukan kumpulan profesional yang pelbagai untuk memenuhi keperluan dan peluang pada masa akan datang. “Saya percaya bahawa rakyat negeri ini mempunyai kelayakan dan keupayaan, setanding dengan pekerja asing untuk berkembang dalam bidang ADR.

“Dengan adanya institusi timbang tara kita sendiri, yang diiktiraf di peringkat global dalam Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), ia akan menjadi satu batu loncatan untuk rakyat menguasai bidang tersebut,” katanya. Beliau berkata demikian pada program Jerayawara AIAC di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, pada Rabu yang turut dihadiri Pengarah AIAC Tan Sri Datuk Suriyadi Halim Omar.

Justeru tambahnya, ini masa sesuai untuk Sarawak kerana acara ini bertujuan mewujudkan platform bagi AIAC melibatkan diri dan bekerjasama pengamal ADR tempatan. Pada masa sama, ia juga dapat membantu mengenal pasti, menangani dan merapatkan jurang antara pengamal ADR Kuala Lumpur dengan Sarawak.

Menurutnya lagi, ADR merupakan mekanisme penyelesaian pertikaian unik apabila pihak menyelesaikan pertelingkahan di luar bilik mahkamah. “Apa yang membezakan ADR ialah hakikat pihak mempunyai autonomi dalam memutuskan bagaimana pertikaian mereka diselesaikan dan siapa yang akan menjadi pembuat keputusan.

“Selain itu, ia juga akan dirahsiakan, menjadikan ADR sebagai cara pilihan untuk menyelesaikan pertikaian komersial mengenai rahsia perdagangan sangat relevan,” katanya.

Katanya, pertikaian tidak dapat dielakkan sama ada transaksi komersial domestik atau antarabangsa, pertikaian melibatkan perkara rumit akan tertakluk kepada nuansa budaya dan kerumitan rentas sempadan.

“Di situlah ADR sepatutnya tersedia untuk menyelesaikan pertikaian dengan sewajarnya,” ujarnya. Beliau turut menzahirkan harapan agar ADR dapat dikembangkan lagi di Malaysia agar dapat menjadi sebuah hab yang diiktiraf di peringkat global di dunia.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru