Wednesday, June 29, 2022

Pegawai ditahan curi makanan tahanan

Secara Rawak

GUNMA: Polis wilayah Gunma membuat aduan terhadap bekas pegawai polis berusia 21 tahun kepada pendakwa raya di Maebashi selepas dia dituduh mencuri makanan seorang tahanan.

Bekas pegawai itu, yang bekerja di Balai Polis Tatebayashi, ditegur dan menerima hukuman tatatertib pada 10 Jun, lapor Fuji TV.

Dia secara sukarela meletak jawatan pada hari yang sama.

Menurut laporan polis dan media tempatan, pegawai itu bertugas di pusat tahanan balai itu pada 9 Mei lalu apabila dia mencuri makanan panggang daripada bento yang dihidangkan kepada tahanan.

Polis berkata dia mengaku mencuri makanan itu dan memetiknya sebagai berkata, “saya lapar.”

Suspek itu memberitahu dia makan sebahagian daripada makan tengah hari yang dikhaskan untuk tahanan di sel bersendirian sejak pertengahan April.

Menurutnya lagi oleh kerana banduan sering tidak makan semua makan tengah hari, dia akan menghabiskan makanan lebihan itu.

Ekoran itu dia memikirkan jika dia menghidangkan makanan itu sendiri, tiada siapa mengesyaki dia memakannya terlebih dahulu.

Perbuatannya terbongkar pada 9 Mei, apabila dia mengambil ikan daripada kotak makan tengah hari yang dia fikir dihidangkan kepada seorang tahanan dalam kurungan bersendirian.

Bagaimanapun, seorang lagi pegawai menghantar makanan tersebut ke sel yang menempatkan beberapa orang tahanan.

Salah seorang tahanan mendakwa dia mempunyai sedikit lauk berbanding yang lain dan hasil siasatan lanjut pihak berkuasa menemui ikan yang dimakan separuh dibuang dalam tong sampah yang digunakan oleh kakitangan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru