Sunday, June 26, 2022

Jabatan Penjara Malaysia jalin kerjasama dengan PKS menubuhkan Pusat Koreksional Komuniti (PKK)

Secara Rawak

KUCHING: Jabatan Penjara Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Perusahan Kecil dan Sederhana di negeri ini dalam menubuhkan Pusat Koreksional Komuniti (PKK) dalam menyediakan pekerjaan kepada bekas banduan.

Ketua Pengarah Penjara Malaysia Datuk Nordin Muhamad berkata, menyifatkan ia sebagai peluang kedua kepada bekas banduan dan pihaknya giat mempromosikan PKK untuk ditubuhkan di seluruh negara.

Katanya, inisiatif bermula daripada sokongan masyarakat itu sendiri dalam usaha membentuk semula keyakinan bekas banduan di samping memberi peluang kepada mereka untuk memulakan kehidupan baharu.

“Perkara ini kita perlukan sokongan daripada masyarakat malah kita lihat keyakinan diri mereka yang terlibat dalam jenayah ini dapat berubah sekiranya pihak keluarga memberi peluang kepada mereka.

“Pihak keluarga masih boleh menyokong mereka. Bak kata perpatah, air yang dicincang tidak akan putus,” katanya ketika ditemui media di Auditorium Sri Sarawak, Penjara Puncak Borneo, di sini hari ini.

Nordin sebelum ini menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Tertinggi Jabatan Penjara Malaysia 2022 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 Zon Sarawak.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bekas banduan yang telah bebas dan tidak didedahkan dengan persekitaran luar setelah ditahan lama dalam penjara dalam tempoh yang lama membekukan produktiviti mereka.

“Dengan ini (PKK), kita cairkan semula dan sudah tentu ia menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Penjara Malaysia kini sedang berusaha bekerjsama dengan PKS yang boleh menempatkan 300 ke 500 individu untuk pekerjaan.

Jelasnya, ia dilaksanakan secara berpusat seperti yang telah dilaksanakan di Selangor memudahkan penyeliaan dibuat oleh pegawai penjara.

Katanya, ia memudahkan Jabatan Penjara Malaysia untuk fokus kepada satu tempat sebagai pusat transisi dari penjara sebelum mereka bebas kepada masyarakat.

Turut hadir, Pengarah Penjara Sarawak Mohamad Rosidek Musa.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru