Sunday, June 26, 2022

Ini tiga usul utama dibahas dalam Konvensyen PBB

Secara Rawak

KUCHING: Pendidikan, ekonomi dan politik merupakan tiga usul yang dibincang dan dibahaskan dalam Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke15 yang akan berlangsung pada 17 hingga 19 Jun ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Naib Presiden PBB Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata ketiga-tiga usul itu adalah perkara penting dalam membawa hala tuju Sarawak pada masa depan, khususnya untuk mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Usul-usul ini akan kita kupas sedalamdalamnya termasuk mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan banyak lagi,” katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan Perhimpunan Agung Parti PBB Ke-15 di BCCK, pada Rabu.

Hadir sama Setiausaha Eksekutif PBB Datuk Awang Bujang Awang Antek dan Timbalan Ketua Pemuda PBB Miro Simuh. Menjelas lanjut mengenai konvensyen bertemakan Menjamin Kestabilan, Kemakmuran dan Kegemilangan Sarawak, Rundi berkata, ia akan dihadiri seramai 2,420 perwakilan terdiri daripada 1,825 Bapa, 298 Wanita dan 297 Pemuda.

Selain itu, beliau berkata seramai 26 orang dari sayap baharu iaitu Pergerakan Belia PBB turut dijemput sebagai pemerhati. “Kami mahu memperkenal dan mendedahkan mereka mengenai sistem dan budaya parti agar mereka boleh berkongsi kepada kumpulan belia yang lain,” katanya.

Rundi juga Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah menambah konvensyen akan turut membuat pindaan ke atas perlembagaan parti bagi membolehkan penubuhan sayap Pergerakan Belia PBB, sekali gus membuka penyertaan keahlian untuk golongan berusia dari 18 tahun ke dalam parti.

Beliau berkata, tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi parti, yang menyaksikan Premier merangkap Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kekal sebagai Presiden PBB termasuk bagi jawatan timbalan dan naib presiden.

Katanya, konvensyen kali ini juga istimewa selepas kali terakhir diadakan pada Februari 2018, apabila ia dijadikan sebagai platform menentukan keyakinan rakyat terhadap perjuangan PBB untuk Sarawak.

“Jadi dalam konvensyen kali ini, kita dapat melihat gambaran apakah hala tuju kepimpinan untuk memastikan apa yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030 tercapai.

“Tiba masanya kita menentukan pendapatan untuk rakyat jelata kepada sekurang-kurangnya RM6,000 bagi sesi keluarga untuk mengurangkan kadar kemiskinan kita,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru