Sunday, June 26, 2022

Hukuman kes jenayah hidupan liar di Sarawak

Secara Rawak

KUCHING: Mahkamah Sarawak kini memiliki garis panduan yang komprehensif dalam menjatuhkan hukuman bagi kes jenayah membabitkan hidupan liar dengan pelancaran Sentencing Guidelines for Wildlife Crimes in Sarawak pada Khamis.

Dokumen itu dilancarkan oleh Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim di Kompleks Mahkamah Kuching di sini.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, beliau berkata para hakim di Sarawak kini memiliki dokumen yang menekankan faktor tertentu untuk dipertimbang sebelum mereka menjatuhkan hukuman bagi kesalahan jenayah membabitkan hidupan liar.

“(Dengan garis panduan ini) kami berupaya memahami (isu tertentu) dengan lebih mendalam dan mempertimbang faktor yang betul (sebelum menjatuhkan hukuman),” katanya seperti dipetik Bernama.

Abang Iskandar berkata setiap kes adalah berbeza namun dengan garis panduan itu, hukuman bagi kesalahan yang serupa tidak akan ‘terlalu berbeza.’

“Sudah tentu tidak ada hukuman yang sama bagi dua kesalahan berasingan dan tidak ada kesalahan serupa yang dilakukan kerana pasti akan terdapat sedikit perbezaan.

“Bagaimanapun, apa yang kita bimbangkan ialah kita tidak mahu ada perbezaan yang begitu ketara apabila mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas pesalah yang melakukan kesalahan hampir sama,” katanya.

Sentencing Guidelines for Wildlife Crimes in Sarawak adalah inisiatif Mahkamah Tinggi Sarawak melalui Kumpulan Kerja Alam Sekitar Mahkamah Sarawak (SWGE) yang bermula pada 2020 dengan sokongan teknikal daripada WWF-Malaysia.

Beberapa rundingan untuk menyemak garis panduan itu telah diadakan pada 2022 membabitkan badan kehakiman, agensi penguatkuasaan undang-undang hidupan liar dan badan bukan kerajaan yang memperjuang isu alam sekitar.

Garis panduan itu dijangka membantu para hakim di Sarawak menjatuhkan hukuman yang adil dan konsisten selain sepadan dengan sifat jenayah bagi kesalahan membabitkan hidupan liar.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru