Sunday, June 26, 2022

Harga keluli tinggi dorong curi tiang lampu

Secara Rawak

KUCHING: Harga keluli yang tinggi mendorong berlakunya kes curi tiang lampu.

Pengurus Wilayah, Wilayah Barat Sarawak Energy Choo Min Chong memaklumkan pelaku kini lebih berani apabila menyasarkan kemudahan elektrik yang bertujuan untuk kemudahan orang ramai.

Menurutnya, tahun ini Sarawak Energy telah merekodkan lebih 800 kes vandalisme lampu jalan di Kuching walaupun usaha mengurangkannya terus dilakukan.

“Berbanding dahulu pesalah biasanya menyasarkan wayar tembaga di dalam tiang lampu jalan sahaja, tetapi kini mereka malah berani bertindak memotong dan mencuri keseluruhan tiang keluli lampu jalan.

“Sarawak Energy percaya individu ini terdorong untuk berbuat demikian kerana harga keluli yang tinggi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, pada 14 Jun pembekal elektrik mengesan sembilan tiang keluli lampu jalan di Isthmus Kuching telah dipotong dan dicuri.

Katanya lagi, laporan polis telah dibuat untuk siasatan dan pihaknya turut meningkatkan rondaan di kawasan ini bagi mengelak lebih banyak tiang lampu jalan dicuri.

Beliau menyuarakan kebimbangannya tentang peningkatan kes vandalisme lampu jalan di Kuching.

“Walaupun amaran telah berulang kali diberikan kepada orang ramai tentang bahaya sehingga boleh menyebabkan kehilangan nyawa, malangnya nasihat tersebut tidak diendahkan kerana pelaku masih sanggup mempertaruhkan nyawa untuk keuntungan kecil.

“Justeru, saya ingin mengulangi bahawa merosakkan mana-mana kemudahan elektrik yang hidup 24 jam boleh menyebabkan renjatan elektrik, melecur dan juga kematian.

“Dalam kes lampu jalan yang tidak menyala disebabkan oleh kecurian wayar, pengguna jalan raya lain menghadapi risiko kemalangan,” ujarnya.

Choo menambah untuk membendung isu ini, Sarawak Energy akan meningkatkan rondaan di kawasan yang biasa terjejas di samping pemasangan alat imbasan jauh untuk mengesan kemasukan individu tidak bertanggungjawab ke kawasan kemudahan elektrik.

Untuk lampu jalan menurutnya, pasukan teknikal sedang mengkaji untuk mengubah suai litar dan memasang wayar berpintal berkembar sementara yang akan digantung di tiang lampu jalan.

Sarawak Energy juga meminta kerjasama orang ramai agar segera melaporkan berkelakuan mencurigakan orang ramai di kawasan berhampiran kemudahan elektrik.

Operasi bersama polis juga akan dijalankan untuk memeriksa pusat kitar semula bagi pemerdagangan kabel tembaga yang dicuri, wayar dan juga tiang lampu jalan dalam kalangan peniaga terpakai.

Orang ramai boleh melaporkan aktiviti mencurigakan kepada Pusat Khidmat Pelanggan 24 jam Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau e-mel customercare@sarawakenergy.com.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru