BAU: Polis menahan seorang lelaki disyaki ejen judi dalam talian di sebuah kedai makan di Jalan Jambusan, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, suspek, 31, ditahan kira-kira iam 5.50 petang menerusi Op Dadu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bau.
“Dalam tangkapan itu, polis turut merampas seunit telefon pintar dan seunit kad sim,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan lampau.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Kesalahan boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih daripada RM 50,000 atau hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun penjara jika sabit kesalahan.