Sunday, June 26, 2022

Abang Johari: Pendapatan Sarawak terus bertambah

Secara Rawak

KUCHING: Kabinet Sarawak telah membuat beberapa keputusan yang akan memberi pendapatan tambahan kepada Sarawak, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tanpa menyatakan lanjut mengenai keputusan berkenaan, beliau berkata ia dibuat dalam mesyuarat kabinet yang diadakan pada Khamis.

“Kerajaan Sarawak telah mengenal pasti beberapa sektor yang harus diperbaiki, yang akan memberi pulangan dari sudut hasil negeri.

“Di sinilah saya rasa perkongsian antara perkhidmatan awam dan pemimpin kerajaan dapat membawa situasi yang lebih baik khususnya dalam pembangunan ekonomi kita yang akan mengubah Sarawak menjadi negeri membangun dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gawai Raya Jabatan Premier Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Abang Johari (tengah) bersama-sama Asfia (tiga kiri), Awang Tengah (kiri), Dr Sim (kanan) dan Jaul (dua kiri) bergambar ketika hadir Majlis Gawai Raya Jabatan Premier Sarawak di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr. Sim Kui Hian, Speaker DUN Datuk Amar Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerja keras yang diberikan perkhidmatan awam Sarawak amnya ketika menghadapi penularan Covid-19 juga telah membolehkan negeri ini berdepan pandemik berkenaan dengan baik.

“Kerjasama antara perkhidmatan awam dan pimpinan negeri sangat erat sehingga kita mampu mengenal pasti hala tuju Sarawak selepas Covid-19 bagi memulihkan prestasi ekonomi,” katanya.

Sementara, Jaul berharap agar semua warga Kerajaan Sarawak akan terus bekerja sebagai satu pasukan yang kukuh, bersatu padu, cekap dan proaktif dalam menjayakan visi dan misi Kerajaan Sarawak selaras dengan agenda Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 (PCDS) 2030.

“Penting juga untuk semua penjawat awam Sarawak mengetepikan sikap mementingkan diri sendiri dan sentiasa merendahkan diri serta tidak sombong,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru