Sunday, June 26, 2022

Lelaki ugut tetak isteri hingga mati terima padah

Secara Rawak

KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melakukan ugutan jenayah bunuh dengan hendak menetak isterinya sehingga mati.

Tertuduh berusia 35, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap isterinya berusia 23 tahun di kediaman mereka di Taman Sorabaya Indah, Jalan Bako Demak laut, kira-kira jam 8.40 malam, 8 Jun lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa isteri tertuduh berada di ruang tamu, tiba-tiba tertuduh naik angin kerana isterinya enggan membawa anak-anak tidur bersama di dalam bilik.

Selain itu, tertuduh juga mengeluarkan kata-kata ugutan hendak menetak mangsa dan anak-anak mereka sehingga menimbulkan ketakutan kepada mangsa.

Tertuduh turut dilaporkan telah masuk ke dalam bilik lalu menghempas kipas sebelum keluar dari rumah mereka.

Mangsa kemudian, menghubungi adik perempuannya untuk mengambil mereka anak beranak untuk menyelamatkan diri.

Laporan polis telah dilakukan oleh mangsa seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada 9 Jun lepas.

Pendakwaan kes dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru