Friday, August 19, 2022

Tingkat ekonomi keluarga

Secara Rawak

DEBAK: Golongan belia, suri rumah, ibu tunggal serta sesiapa sahaja yang berminat disaran untuk mengikuti kelas-kelas kemahiran anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bagi menjana pendapatan sekali gus meningkatkan ekonomi keluarga.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II Datuk Hasbi Habibollah memuji inisiatif pihak Kemas yang banyak mewujudkan kelas-kelas kemahiran di kampung-kampung.

“Justeru dengan yuran yang dikenakan murah, fasiliti yang baik serta tenaga pengajar terlatih, maka rugilah jika peluang ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat setempat.

“Ayuh, saya mengajak kumpulan sasar khususnya untuk melibatkan diri dalam beberapa bidang utama yang ditawarkan iaitu masakan, jahitan, dandanan diri, pendidikan kesejahteraan keluarga, seni tangan dan literasi komputer,” katanya.

Ahli Parlimen Limbang itu berkata demikian semasa merasmikan penangguhan Program Pembangunan Komuniti dan Kemahiran Kemas Bahagian Betong di sini, kelmarin.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam, Timbalan Ketua Pengarah Operasi Kemas Malaysia Ahmad Kamal Idris Mohd Nawawi, Pengarah Kemas Sarawak Khairuddin Md Nasir dan Pegawai Kemas Betong Md Asdi Hamdi turut hadir sama.

Jelasnya, kelas-kelas kemahiran ini banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

“Saya yakin peranan yang dimainkan oleh Kemas memberi kemudahan kepada kumpulan sasar seperti golongan belia, suri rumah, ibu tunggal serta individu yang berminat memperolehi kemahiran asas tertentu.

“Seterusnya, menjadi peluang untuk menjana pendapatan, sekali gus meningkatkan taraf ekonomi keluarga terutama selepas ancaman pandemik Covid-19 lebih dua tahun,” ujarnya.

Hasbi pada majlis sama turut menyampaikan sijil tamat kursus kemahiran jangka pendek (KKJP) bagi bidang pembuatan video pendek dan rawatan muka.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru