Thursday, October 6, 2022

Tangani lumba haram

Secara Rawak

KUCHING: Pembukaan litar latihan permotoran di tempat letak kenderaan Stadium Negeri Sarawak diharap mampu membangunkan sukan permotoran dalam kalangan pelumba dan peminat tempatan di negeri ini, di samping menangani lumba haram.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan II Datuk Snowdan Lawan berkata, litar terbabit secara rasminya dikendalikan oleh Kelab Permotoran Petra Jaya (PJM) sekali gus menjadi kelab pertama mengendalikan litar latihan permotoran terbabit.

“Kerajaan Sarawak memberi kebenaran atas beberapa faktor iaitu pengendalian adalah secara bersendirian, iaitu kos termasuk penambahbaikan, menaik taraf, dan penyelenggaraan adalah di bawah pembiayaan sendiri.

“Langkah positif oleh kelab permotoran adalah untuk melaksanakan projek sehingga berjaya atas sumbangan ahli-ahli berpengalaman yang terlibat secara aktif dalam perlumbaan kompetitif.

“Dengan adanya komitmen sedemikian, kita berbesar hati untuk menyokong projek ini, selari dengan pembangunan sukan permotoran di Sarawak,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Litar Latihan PJM, semalam.

Tambahnya, sokongan adalah untuk memberi fokus lebih terhadap sukan permotoran serta memberi peluang kepada pelumba-pelumba tempatan berkemahiran untuk melebarkan sayap ke peringkat yang lebih tinggi.

Dedahnya, Sarawak mempunyai beberapa pelumba berbakat dalam kejohanan kompetitif termasuk perlumbaan motokar, gokart, dan lumba motosikal.

Justeru beliau berharap para pelumba dapat mengambil manfaat terhadap pembukaan latihan litar sehingga mampu menjadi duta kepada sukan tersebut suatu hari kelak.

Tambahnya, pembukaan litar latihan ini diharap mampu mengelakkan berlakunya lumba haram di laluan masyarakat dengan menukarkan ia kepada perlumbaan teratur pada litar perlumbaan ataupun sebaliknya.

Sementara itu, Presiden PJM Baron Sim berkata, litar latihan berukuran sekitar 960 meter itu diharap dapat digunakan sebaik mungkin oleh para peminat perlumbaan untuk mencungkil bakat serta menjadi pentas latihan kepada pelumba di Sarawak.

Menurutnya, setakat ini seramai 120 ahli berdaftar di PJM meliputi peserta di kawasan Kuching sahaja.

“Kita harap lebih ramai dalam kalangan anak muda menunjukkan minat mereka dalam bidang permotoran dengan menyertai kelab kita.

“Sudah pasti kita mahukan pelumba-pelumba tempatan mampu dilahirkan di sini, namun pada peringkat awal ini kita lebih memfokuskan dan melihat kepada perancangan bagaimana untuk mengembangkan litar supaya lebih besar,” ujarnya

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru