Sunday, June 26, 2022

Kos sara hidup naik

Secara Rawak

Jika anda tanya sesiapa yang membeli bahan dan barang makanan di pasar dan pasar raya belakangan  ini, kebanyakannya  pasti  mengeluh. Harga barang makanan pada amnya sudah naik dan berada pada paras yang membimbangkan. Semua merungut kerana nilai ringgit semakin menguncup. Jika pergi ke pasar dengan membawa RM100, tidak banyak yang dapat dibeli. Ini realitinya.

Ya, apa benda yang tidak naik di negara ini? Segalanya naik sedangkan bagi kebanyakan orang pendapatan atau gaji tidak naik bersekadar dengan kenaikan kos sara hidup.

Lazimnya, apabila harga barangan atau makanan sudah naik, sukar untuk turun. Kita telah mengalami perkara ini banyak kali. Kebanyakan peniaga meletakkan keuntungan sebagai agenda mereka. Tidak ada peniaga yang mahu rugi, malah ada yang mengambil kesempatan dengan memanipulasikan harga atau menyorok barang keperluan. Dengan harapan, dapat  meraih keuntungan berganda.

Daripada sayur, sardin, ayam, telur hinggalah tepung. Semuanya naik. Kesan kenaikan  itu berganda dan berantai. Misalnya, apabila telur naik, apa-apa yang berkaitan dengan telur akan turut naik, termasuk kuih dan roti.    Jika tahun lepas sepapan harga telur  gred A  ialah  sekitar RM12, kini sudah mencecah  lebih RM20.

Isu kenaikan harga barang hangat diperkatakan di mana-mana termasuk oleh netizen. Negara berdepan dengan inflasi.  Indeks Harga Pengguna Malaysia meningkat berikutan kenaikan harga makanan dan bahan api.

Malah, ada kerisauan harga barangan dijangka meningkat sehingga 60 peratus bulan ini berikutan pelaksanaan gaji minimum RM1,500, dan kerakusan peniaga yang mengambil kesempatan.

Oleh itu, kenaikan gaji berkenaan tidak memberi banyak makna kepada pekerja terbabit. Daya beli mereka tidak mengukuh disebabkan kenaikan harga barang dan makanan yang memakan sebahagian besar pendapatan mereka.

Apakah punca kenaikan ini?  Mungkinkah terdapat unsur manipulasi oleh pihak tertentu dalam penetapan harga barang? Atau kenaikan itu memang tidak dapat dielakkan dan di luar kawalan, termasuk oleh kerajaan disebabkan faktor luaran dan dalaman? Perang Rusia-Ukraine menjadi antara punca fenomena ini terjadi.

Tidak dinafikan, kenaikan harga barangan turut dipengaruhi peningkatan kos input barangan terbabit. Ini meliputi kes barangan daripada pengimport dan kos-kos lain yang turut meningkat susulan kenaikan kadar tukaran mata wang asing, dan kenaikan harga barangan daripada pengimport.

Kadar tukaran mata wang asing juga menjadi antara puncanya. Hal ini memberi kesan kepada kenaikan cukai keluar masuk barang sehingga mengakibatkan harga barangan keperluan melonjak dan membebankan rakyat.

Nilai ringgit Malaysia yang mengendur berbanding dolar AS turut memberi kesan berganda kepada barang yang diimport dari luar, termasuk beras, cili dan bawang.  Bayangkan, negara kita mengimport barangan makanan tidak kurang daripada RM60 bilion setahun.

Kenaikan harga barangan makanan mentah mengakibatkan kesan berantai. Kenaikan bahan api juga menyebabkan gejala ini berlaku, kerana semua barang keperluan bergantung kepada kos bahan api.

Hakikatnya, kenaikan harga barang dan komoditi asas ialah fenomena global yang dialami kebanyakan negara akibat gangguan bekalan dan kos tenaga yang meningkat secara mendadak.

Benarkah seperti didakwa, kenaikan kos juga ada kaitan dengan kenaikan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 yang dilaksanakan pada Mei lalu?

Seyogia diingatkan, kenaikan gaji asas, tidak termasuk caruman memberi kesan kepada perniagaan. Siapakah akhirnya yang menanggung kos berkenaan?  Syarikat pada akhirnya terpaksa memindahkan kos itu kepada pengguna. Penggunalah yang akhirnya terpaksa memikul beban kos terbabit.

Nasib baik di negara ini ada barangan yang dikawal harganya termasuk RON95. Bayangkan beban yang terpaksa kita tanggung jika tiada subsidi di sebalik kenaikan harga minyak dunia. Namun,  setiap subsidi yang diberi membebankan kerajaan kerana ini bermakna, jumlah subsidi juga meningkat.

Sejak peningkatan signifikan harga minyak mentah dunia bermula tahun lalu, kerajaan terpaksa menampung peningkatan subsidi petrol diesel dan gas asli cecair sehingga sepuluh kali ganda.

Ya, daripada RM200 juta pada Jan 2021 kepada RM2 bilion pada Jan 2022. Kerajaan dijangka menanggung subsidi minyak lebih RM2.5 bilion sebulan. Malah, jumlah subsidi dijangka RM28 bilion bagi keseluruhan tahun ini susulan kenaikan harga minyak mentah dunia. Bayangkan!

Jadi, memang wajar mekanisme dan sistem subsidi ini dikaji semula agar tidak terlalu membebankan kerajaan. Situasi menang-menang perlu difikirkan. Subsidi bersasar  mungkin dapat difikirkan dan dilaksanakan. Bantuan dan subsidi perlu diberi kepada golongan rentan dan mereka yang benar-benar memerlukan bantuan.

Jumlah import makanan Malaysia  pada 2020 ialah RM55.5 billion, berbanding eksport makanan RM33.8 billion. Kita perlu akui bahawa kebergantungan  negara kepada bekalan makanan dari luar memberi kesan kepada harga bahan makanan di dalam negara. Maksudnya, negara ini mengalami defisit perdagangan makanan yang besar sebanyak RM21.7 billion ataupun 64 peratus daripada eksport makanan. Kebergantungan tinggi terhadap import makanan meletakkan Malaysia dalam keadaan berisiko.

Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan, inflasi makanan untuk April 2022 meningkat lebih tinggi pada 4.1 peratus, dengan 89.1 peratus item makanan bagi kumpulan makanan dan minuman menyaksikan kenaikan.

Kenaikan harga barang memberi kesan langsung kepada rakyat khususnya yang berpendapatan rendah. Isu ini mudah dicakap, tetapi realitinya  tidak mudah ditangani.

Kerajaan melalui agensinya perlu mengawal selia kenaikan harga barangan bagi mengimbangi risiko inflasi terutamanya inflasi tinggi.

Kerajaan dan pihak berkuasa terbabit hendaklah mengambil langkah proaktif memantau kenaikan harga barangan untuk mengelak daripada membebankan rakyat. Lebih 2,000 penguat kuasa kementerian terbabit perlu dikerah untuk memantau keadaan.

Segala strategi dan inisiatif perlu diambil untuk memastikan harga barangan dan makanan tidak terus naik kerana ia merupakan bom jangka yang amat berbahaya.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru