Friday, August 19, 2022

Polis tahan wanita disyaki pukul suami hingga mati

Secara Rawak

Polis menahan seorang wanita kerana disyaki membunuh suaminya di rumah sewa mereka di Taman Sri Muda di Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya turut menahan adik lelaki mangsa berusia 29 tahun di rumah yang sama kerana dipercayai bersubahat.

Hasil siasatan pihaknya Mohd Iqbal berkata mangsa yang berusia 42 tahun ditemukan mati di rumah itu dengan lima kesan tetakan di belakang kepala selain kesan lebam pada badan, bibir terkoyak dan bengkak pada pipi disyaki akibat dipukul dengan senjata tumpul dalam kejadian sekitar 12.30 tengah malam 10 Jun.

“Isterinya telah bertindak memukul mangsa yang mabuk hingga rebah kerana berang dengan sikap mangsa yang merupakan seorang kaki mabuk.

Susulan itu mangsa mati di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan seperti dipetik Bernama.

Mohd Iqbal berkata pihaknya telah menahan wanita berusia 40 tahun itu yang merupakan pekerja kilang dan adik mangsa sekitar pukul 3 petang.

Dia berkata pasangan itu telah berkahwin selama 18 tahun dan adik mangsa adalah seorang pelajar kolej swasta yang tinggal bersama mereka sejak enam bulan lepas, manakala mangsa bekerja sendiri dalam sektor pembersihan.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman selama enam hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru