Friday, August 19, 2022

Tingkat komunikasi, perbaiki polisi

Secara Rawak

KUCHING: Penubuhan Jawatankuasa (JK) Hubungan Antara Kerajaan dapat mengurangkan konflik melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Profesor Dr Arnold Puyok berkata, usaha ini bukan sahaja dapat meningkatkan hubungan antara kedua-dua pihak, malah dapat memperkukuhkan hubungan antara kerajaan yang selama ini dipengaruhi politik hubungan parti.

“Dengan penubuhuhan JK ini, ia dapat meningkatkan komunikasi dan memperbaiki pelaksanaan polisi berkenaan masalah yang timbul melalui perjumpaan secara kerap diadakan.

“Melihat kembali bidang kuasa persekutuan dan negeri dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, telah dilaksanakan desentralisasi kuasa kepada negeri kerana perkara ini boleh diperhalusi oleh JK Hubungan Antara  Kerajaan yang dibentuk,” katanya.

Beliau berkata demikian, pada webinar Politik Sabah dan Sarawak dapat bekerjasama khususnya dalam Konteks Hubungan Persekutuan Negeri-Negeri (2008 hingga 2021) menerusi aplikasi Zoom.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Sarawak dan Sabah turut memainkan peranan penting dalam politik Malaysia kerana mempunyai jumlah kerusi yang agak besar dalam konteks nasional. “Mana-mana entiti politik kerajaan di peringkat persekutuan perlu membuat rundingan antara Sabah dan Sarawak.

“Ini kerana politik Malaysia telah berubah dan bukan lagi dikawal dan didominasikan satu entiti politik terdahulu,” ujarnya.

Menurut Penganalisis Politik itu juga, keadaan politik negara ini disifatkan lebih dinamik kerana melibatkan perkongsian kuasa dan bukan lagi di bawah kuasa seseorang ataupun sesebuah parti politik.

“Apa yang saya lihat dalam tempoh lima atau 10 tahun akan datang, kita akan melihat lebih banyak perundingan atau usaha gabungan-gabungan politik untuk memimpin di peringkat persekutuan atau negeri,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru