Sunday, June 26, 2022

Sukma Kuala Lumpur 2022: Sarawak rangka strategi terbaik

Secara Rawak

KUCHING: Kontinjen Sarawak perlu merangka strategi lebih komprehensif dalam usaha untuk tampil cemerlang pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur 2022 yang akan berlangsung dari 16 hingga 24 September nanti.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, pendekatan tersebut perlu dilaksana memandangkan berlaku perubahan membabitkan beberapa acara utama sukan yang bakal dipertandingkan.

Justeru katanya, pihaknya perlu meneliti perbincangan menerusi mesyuarat jawatankuasa yang diadakan selepas ini bagi membolehkan pihaknya merangka pelan ataupun strategi terbaik untuk menghadapi kejohanan terbabit.

“Ada tempoh 100 hari sahaja lagi untuk temasya Sukma Kuala Lumpur 2022 berlangsung.

“Ia jangka masa yang singkat untuk semua pasukan terlibat mempersiapkan diri. Justeru, perlu ada strategi bagi kita untuk berdepan situasi sebenar kejohanan itu kelak,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Peserta Pertandingan Joran Tanjong Datu ‘ Tok Nan Open Sea Fishing Competition 2022’ di  Sematan, pagi tadi.

Ditanya mengenai sasaran pingat bagi kontinjen Sarawak pada kejohanan itu kelak, beliau berkata sasaran ini belum dapat diumumkan berikutan terdapat acara sukan yang dikurangkan kategorinya.

“Memandangkan ada acara sukan yang dikurangkan kategorinya, kita belum dapat memberi gambaran jumlah pingat yang disasar,” ujarnya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Azizul Anuar Adenan, ketua-ketua jabatan dan ketua masyarakat setempat.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru