Friday, August 12, 2022

Projek Agropolitan Bukit Sadok

Secara Rawak

SARATOK: Kerajaan mengenal pasti tanah seluas 6,000 hektar di kawasan Awik dan Krian untuk projek pembangunan pertanian, Projek Agropolitan Bukit Sadok. “Ia sebagai usaha kerajaan untuk menambah pendapatan para penduduk di kawasan berkenaan secara keseluruhannya,” kata Adun Krian Friday Belik.

“Untuk itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) telah diarahkan untuk membuat kajian terperinci mengenai keperluan cadangan untuk membina jalan kebun di kawasan Brayang dan Mudong, Sebetan, Awik mahupun Krian,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ngiling Bidai di Rumah Jamping Nanga Atoi, Awik di sini yang dihadiri sekitar 100 orang. “Terserah kepada rakyat mengambil peluang untuk menyertai mana-mana syarikat atau agensi yang ingin membantu untuk mengusahakan sesuatu tanaman yang sesuai di tempat mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, industri pelancongan juga turut diberikan penekanan memandangkan banyak tempat menarik di kawasan Awik yang boleh dimajukan menjadi sebuah tempat pelancongan, seperti yang terdapat di Wong Klansau.

“Tidak hanya pembangunan pertanian, malah industri pelancongan juga turut diberikan penekanan di kawasan ini. “Hal ini kerana, di kawasan Awik terdapat banyak tempat menarik,” jelasnya. Pada majlis tersebut Friday turut menyampaikan RM10,000 kepada JKKK, RM5,000 (Biro Wanita) dan RM5,000 lagi kepada Biro Kebajikan Rumah Jamping.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru