Sunday, June 26, 2022

Pinjam wang tanpa lesen: Tiga individu ditangkap

Secara Rawak

MIRI: Tiga individu termasuk seorang perempuan disyaki terlibat dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen dan jenayah khianat di sini ditangkap polis.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata kesemua suspek berusia antara 27 hingga 31 tahun itu ditangkap dalam Op Vulture pada 26 Mei lalu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Miri.

Katanya, kumpulan ini dipercayai terlibat dalam beberapa siri kejadian jenayah khianat dengan cara simbah cat dan gangguan serta ugutan jenayah sekitar Daerah Miri.

“Pihak polis turut merampas beberapa dokumen dan rekod-rekod yang dipercayai telah digunakan dalam kegiatan pinjaman wang tanpa lesen dan juga perbuatan simbah cat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Alexson berkata, dengan tangkapan itu, pihaknya berjaya menyelesai 11 kes melibatkan pinjaman wang tanpa lesen di sini.

Katanya, kesemua suspek terlibat telah dituduh di Mahkamah Majisteret Daerah Miri pada 9 Jun 2022 atas 11 pertuduhan secara bersama-sama di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Beliau berkata, kesalahan disiasat di bawah 5(2) Akta Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951 (Akta 400), Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Akta 574), Seksyen 29AA (1) Akta Pinjaman Wang Tanpa Lesen 1951 (Akta 400), Seksyen 29B (2) Akta Pinkaman Wang Tanpa Lesen 1951 (Akta 400), Sekseyn 506 Kanun Keseksaan (Akta 574) dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru