Friday, August 19, 2022

Matu perlukan kemudahan lengkap

Secara Rawak

MATU: Matu yang dahulunya lebih awal maju berbanding Mukah dan Daro, kini seakan-akan terpinggir apabila tidak dilengkapi dengan kemudahan yang diperlukan.

Malah menurut Timbalan Menteri Di Pejabat Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman)  merangkap Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya, pasar raya juga tidak ada di daerah ini sehingga ramai penduduk terpaksa ke Mukah atau Daro untuk membeli barang keperluan.

Justeru, beliau menggesa agar agensi pelaksana memenuhi keperluan infrastruktur dan tempat perniagaan yang masih mendesak di Matu, selaras perancangan Kerajaan Sarawak untuk membangunkan kawasan pesisir pantai. “Rakyat Matu tidak sabar melihat premis perniagaan dibangunkan di sini.

“Bahkan ramai yang bertanya mahu membeli premis perniagaan dan menjadi peniaga. Ini jelas menunjukkan penduduk matu tidak mahu ketinggalan dari segi kemajuan dan pembangunan,” katanya berucap dalam majlis Penangguhan Pesta Matu 2022 di Matu, pada Rabu.

Malah katanya cadangan agar Pejabat Lama Daerah Matu dibaik pulih dan diubah suai menjadi Anjung Usahawan dengan menawarkan bahagian di bawah bangunan berkenaan kepada operator pasar raya untuk beroperasi. Ujarnya, pembinaan bandar baharu Matu dan Igan yang dilancarkan tiga tahun lalu kini harus segera dilaksanakan.

“Kita berterima kasih kepada Premier Sarawak dalam masa singkat sudah meluluskan beratus-ratus juta projek yang kini telah siap dan sedang dibangunkan namun banyak yang masih belum di laksanakan di Matu,”jelasnya.

Dalam pada itu, Juanda turut mengumumkan permulaan pembinaan Masjid Kuala Matu pada tahun ini bakal menjadi masjid utama jalan pesisir Sarawak apabila pembinaan semua jambatan siap.

“Masjid ini kelak akan memiliki Menara Balai Cerap Anak Bulan untuk Zon Tengah Sarawak dan Premier Sarawak juga telah meluluskan bajet tambahan sebanyak RM8 juta untuk masjid ini. “Tidak dinafikan jalan telah banyak dibangunkan, begitu juga jalan Igan  ke Kebuaw telah diluluskan.

“Sekiranya jalan pesisir sepenuhnya siap dengan Jambatan Pasi, Jambatan Paloh, Jambatan Batang Lassa, Jambatan Igan, kawasan ini akan menjadi tumpuan seluruh rakyat Sarawak,” katanya.

Pada majlis berkenaan, Abang Johari bersama-sama Juanda menyampaikan kunci rumah Spektra Permata Kampung Tian dan Igan kepada 10 penerima serta menyampaikan hadiah pertandingan bola sepak serta gerai komuniti kepada setiap pemenang sepanjang Pesta Matu 2022 diadakan.

Turut hadir Timbalan Menteri Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) Datuk Abdullah Saidol dan Pegawai Daerah Matu Wan Hipni Wan Mohamad.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru