Sunday, June 26, 2022

Lulus sebagai persatuan pemancing

Secara Rawak

KUCHING: Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) meluluskan permohonan Persatuan Komuniti Pemancing Sarawak (PKPS) untuk dijadikan sebagai sebuah persatuan.

Pengerusi PKPS Addin Chee Kifli berkata persatuan tersebut ditubuhkan bagi menyatukan dan mewakili para pemancing di sekitar Sarawak dalam aktiviti sukan perikanan rekreasi.

“Pada masa sama, ia dapat mempromosikan industri sukan perikanan dengan mengadakan pelbagai aktiviti berkaitan memancing, di samping merapatkan hubungan antara persatuan dan kelab pemancing di negeri Sarawak.

“Melalui persatuan ini juga, ahli dapat menyertai dan mewakili mana-mana pertandingan yang dianjurkan di negeri Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan. Menurutnya lagi, persatuan ini turut mengutamakan hubungan persahabatan dalam kalangan ahli dengan berkongsi, mempelajari dan mengembangkan ilmu memancing.

Tambahnya, persatuan tersebut menyasarkan penglibatan anggota dari seluruh bahagian Sarawak bagi memastikan acara yang dianjurkan disertai ahli secara menyeluruh.  Sementara, Pengarah ROS Georgina Apphia Ngau memberitahu PKPS didaftarkan di bawah kategori rekreasi lebih kepada memancing.

Menurutnya, memancing bukan sukan didaftarkan di bawah aktiviti sukan kerana ia berbentuk rekreasi. “Piagam proses kelulusan pendaftaran persatuan hanya memakan masa sekitar lima hari, yang penting semua dokumen lengkap,” katanya.

“Sekiranya dokumen tidak lengkap, ia akan melambatkan proses mendaftar sesebuah persatuan,” jelasnya. Untuk rekod, PKPS telah ditubuhkan pada 13 Mei 2022 dibawah Akta Pertubuhan 1966, Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru