Friday, August 19, 2022

Jika PRU-15 diadakan sekarang?

Secara Rawak

KUCHING: Adakah jika diadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ketika ini akan mewujudkan kestabilan politik? Itu antara persoalan utama yang dibangkitkan oleh rakyat dan menurut Penganalisis Politik Dick Lembang Dugun, persoalan tersebut sangat penting.

“Tetapi jika PRU-15 memang perlu diadakan, saya berharap kerajaan harus mengutamakan sifat cakna dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat. “Pastinya memerlukan kepemimpinan yang mempunyai iltizam politik tinggi kerana kita tidak mahu pemimpin yang hanya pandai beretorik, mengeluarkan kata-kata agar sedap didengar oleh rakyat,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Pensyarah Kajian Politik dan Pemerintahan Unimas itu turut mempersoal kemampuan parti-parti politik semasa untuk memenangi hati rakyat. “Apabila melihat kepada prestasi barisan kabinet dalam Kerajaan Persekutuan yang diteraju oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini nampaknya kurang memberi keyakinan kepada rakyat – kurang cakna kepada masalah harian terutama peningkatan kos sara hidup.

“Maka sebab itu jika diadakan PRU-15 melihat kepada landskap politik negara hari ini, adakah parti politik ini dapat memenangi pilihan raya dengan mendapat sokongan kuat, membentuk kerajaan yang kuat, memperoleh majoriti dua per tiga atau sebaliknya?

“Dan adakah dalam kalangan pemimpin yang sedia ada, ahli politik dapat membantu negara keluar daripada masalah yang dihadapi rakyat ketika ini?

“Oleh demikian, kabinet sepatutnya harus berfungsi dalam menyelesaikan masalah ini dan menjadi keperluan sekiranya kita mengadakan PRU-15, penting untuk memastikan kestabilan politik itu akan terbentuk,” ujarnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru