Sunday, June 26, 2022

Harga telur tidak munasabah

Secara Rawak

SIBU: Kerajaan mengambil langkah intervensi dengan melanjutkan Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam sehingga 30 Jun 2022 ini.

Ketua Cawangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Sibu Kelyn Bolhassan @ Haliward berkata, sebanyak dua jenis barangan ditentukan harga maksimum iaitu ayam dan telur ayam (Gred A, B dan C).

“Sebagai kementerian yang bertanggungjawab memastikan bekalan dan harga telur ayam ini kekal stabil, KPDNHEP akan terus mengadakan sesi libat urus bersama-sama pemain industri dan agensi kerajaan yang terlibat bagi memastikan bekalan ayam dan telur ayam sentiasa mencukupi untuk memenuhi keperluan harian pengguna.

“Keputusan kerajaan mengawal harga ayam dan harga telur ayam di peringkat peladang, pemborong dan peruncit ini adalah satu tindakan intervensi kementerian bagi membantu rakyat dalam situasi ekonomi semasa negara,” jelasnya pada Rabu.

Bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah oleh peniaga tidak bertanggungjawab, Kelyn menegaskan tindakan pengeluaran notis di bawah seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 akan dilaksanakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak dan ketara.

Menurut beliau, diingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan peraturan di bawah penentuan harga maksimum ini. Jelasnya, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

“Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Bagi syarikat, boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000,” katanya. Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.

Ujarhya, individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.

“Jika didapati ada peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berkenaan dengan skim ini, pengguna boleh menyalurkan aduan kepada kementerian inimelalui aplikasi telefon pintar Ez ADU, Website: e-aduan.kpdnhep.gov.my, emel ke alamat e-aduan@kpdnhep.gov.my, lapor/hadir ke Pejabat KPDNHEP Cawangan Sibu di Tingkat 1, Wisma Persekutuan Blok 3, 96000 Sibu, Sarawak, hubungi nombor telefon Pejabat KPNDHEP Cawangan Sibu 084-335622 atau WhatsApp ke talian 019-279 4317,” tegasnya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru