Sunday, June 26, 2022

Bagaimana Felda boleh jadi pemangkin ekonomi terpenting negara?

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpandangan FELDA mempunyai potensi untuk menjadi  hub makanan negara atau the future food valley of Malaysia yang dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan dari luar dan berupaya menjadikan institusi ini sebagai pemangkin ekonomi terpenting negara.

Bagaimanapun menurut beliau yang juga Pengerusi BN, demi mencapai sasaran tersebut, FELDA memerlukan suntikan lebih daripada sekadar modal dan material bagi menyumbang kepada bekalan dan sekuriti makanan.

“FELDA memerlukan rejuvenasi yang besar-besaran hala tuju perlu menjadi lebih daripada sekadar untuk menjana pulangan dan keuntungan ekonomi bagi warganya semata-mata tetapi juga terlibat secara langsung dalam membangun negara dengan lebih holistik.

“Ini termasuk mengubah model ekonomi dan struktur secara radikal… model ekonomi FELDA perlu dikembangkan kepada sektor bio-ekonomi dan agrikultur moden. Ini termasuk meneroka biomass harvesting dan industri pemprosesan hiliran,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Jelasnya, kapasiti dan pembangunan multi-crop juga boleh diperluas dengan pelibatan pihak universiti, fasiliti penyelidikan agrikultur, kerajaan dan juga pemain teknologi dan industri.

Katanya, sudah tiba masanya juga tanah FELDA yang tersedia luas ini diusahakan multifarming yang termasuk penternakan lembu dan sumber daging yang lebih inovatif menggunakan teknologi terkini.

“Selain itu, bagi memastikan ketersediaan pasaran bagi produk hiliran FELDA ini, satu usaha whole of society boleh diambil bagi memastikan pembekalan, pengagihan dan proses pemasaran hasil ladang dapat dilaksanakan secara digital tanpa pergantungan kepada orang tengah.

“Proses transformasi ini tentunya dapat membolehkan FELDA memainkan peranan yang lebih teras dalam pembangunan negara terutamanya dalam sektor perladangan.

“Kerjasama antara kementerian, kerajaan-kerajaan negeri, agensi-agensi serta pihak-pihak berkepentingan akan membuka lebih banyak peluang untuk lebih berdaya saing dan boleh sekali lagi dijadikan contoh program rekayasa sosial dan ekonomi terbaik di peringkat antarabangsa,” ujar beliau.

Tambah beliau di peringkat global, FELDA diiktiraf sebagai badan pembangunan tanah paling berjaya di dunia yang tidak dapat disaingi oleh badan pembangunan tanah di negara lain malah negara luar seperti Afrika cuba mengguna pakai dan mencontohi modul pembangunan FELDA, namun tidak mampu dilaksanakan dengan jayanya.

“Di Korea Selatan, semangat Saemaul Undong sering dibandingkan dengan FELDA daripada segi kejayaan pembangunan luar bandar dan rekayasa masyarakat yang paling berjaya di Asia Tenggara sehingga seringkali menjadi rujukan kes pembangunan sosio-ekonomi,” ujar beliau.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru