Tuesday, August 16, 2022

Tebingan Matu bercahaya

Secara Rawak

MATU: Usaha bersepadu Majlis Daerah Matu Daro (MDMD) memperkenal elemen pencahayaan berjaya mengubah wajah tebingan sungai Matu.

Lampu LED berwarna-warni menambah seri tebingan sungai itu sekali gus menarik kunjungan pengunjung untuk menikmati juadah sambil bersantai di Medan Selera yang terletak di kawasan itu.

Ketua Seksyen Kesihatan dan Perkhidmatan Bandar MDMD,  Apohrozy Ezrie Eallie berkata, pembangunan tapak itu sejajar dengan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dengan menjadikan konsep pencahayaan sebagai tarian utama.

“Pada masa yang sama kita mengambil kira pelbagai aspek lain termasuk selfie sebagai trend terkini masyarakat ketika ini.

Justeru, kita mahu setiap pengunjung yang datang mengabadikan kenangan mereka di lokasi ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, proses naik taraf tebingan sungai itu bermula dengan menghidupkan semula sektor ekonomi iaitu menaik taraf prasarana  selain menambah pelbagai tarikan bagi kemudahan penjaja dan pengunjung.

Usaha menaik taraf tebingan sungai berkenaan merupakan sebahagian komitmen MDMD bagi  meningkatkan ekonomi peniaga kecil selain menghidupkan semua pekan matu dan kawasan sekitarnya. Malah katannya, sambutan positif orang ramai diyakini melonjakkan lagi potensi besar kawasan tersebut.

“Kita tidak menyangka usaha yang dilakukan secara berperingkat-peringkat ini mendapat sambutan bukan sahaja penduduk setempat tetapi juga pengunjung luar.

Hari ini, tebingan sungai Matu khususnya Medan Selera Matu menjadi salah satu tarikan utama kepada pengunjung yang datang ke daerah ini,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau optimis potensi kawasan berkenaan akan terus berkembang sekali gus menjadi salah satu lagi lokasi tumpuan utama pengunjung seluruh Sarawak.

Dalam pada itu, majlis perasmian Medan Selera Matu dijangka akan disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru