Sunday, June 26, 2022

PM komited tegakkan hak asasi manusia

Secara Rawak

Seorang Ahli Parlimen pembangkang dari DAP menyelar kerajaan dengan mendakwa Putrajaya kurang minat dan tidak memberi keutamaan kepada isu hak asasi manusia.

Alasan yang beliau berikan adalah kerana kerajaan lewat melantik pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) setelah ia mengalami kekosongan baru-baru ini.

Beliau juga menyelar Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, dengan mengatakan demokrasi dan hak asasi manusia jelas tidak wujud dalam konsep Keluarga Malaysia.

Lebih dari itu, beliau malah mendakwa sepanjang enam bulan lepas Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak pernah berkata apa-apa tentang hak asasi manusia dan demokrasi.

Dari segi kelewatan lantikan pesuruhjaya Suhakam, perlu disedari bahawa ia perlu dibuat mengikut prosedur tertentu seperti yang diperuntukkan di dalam Akta Suhakam 1999.

Di bawah Seksyen 5 (2) Akta Suhakam 1999, ada dinyatakan bahawa lantikan pesuruhjaya Suhakam hendaklah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas syor Perdana Menteri.

Begitupun, sebelum memberikan nasihat beliau, Perdana Menteri dikehendaki untuk berunding dengan jawatankuasa lantikan mengikut Seksyen 11A Akta Suhakam 1999.

Amat tidak wajar untuk menggunakan keperluan mematuhi prosedur lantikan ditetapkan untuk mendakwa kerajaan kurang minat dan tidak memberi keutamaan kepada isu hak asasi manusia.

Dakwaan bahawa Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak pernah berkata apa-apa tentang hak asasi manusia dan demokrasi sepanjang enam bulan lepas adalah lebih tidak betul.

Adalah satu fakta bahawa demokrasi di Malaysia sedang berada pada tahap yang amat sihat sejak Ismail Sabri mengambil-alih tampuk pemerintahan negara pada 21 Ogos 2021.

Ini terbukti bila Indeks Demokrasi 2021 yang dikeluarkan oleh Economist Intelligence Unit (EIU) menempatkan Malaysia di tempat ke-39 daripada 167 buah negara dan wilayah di seluruh dunia.

Malaysia, dengan 7.24 mata, berada pada tempat tertinggi di kalangan seluruh anggota ASEAN, mengatasi negara-negara jiran seperti Indonesia (6.71 mata), Filipina (6.62 mata), Singapura (6.23 mata) dan Thailand (6.04 mata).

Sejak menjadi Perdana Menteri, Ismail Sabri telah melakukan banyak perkara bagi memperbaiki kedudukan demokrasi di negara ini.

Pada 10 September 2021, beliau telah menyatakan semangat kerajaan untuk terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi yang menjadi teras kehidupan bermasyarakat dan bernegara.

Serentak itu beliau menyatakan kerajaan komited untuk memperkenalkan lebih banyak transformasi dari semasa ke semasa dengan Tawaran Transformasi Parlimen dan Pentadbiran Kerajaan yang meliputi:
1. Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti.
2. Pelaksanaan Undi18.
3. Pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
4. Keseimbangan keanggotaan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen melibatkan Ahli Parlimen Kerajaan dan Ahli Parlimen Pembangkang.
5. Setiap Rang Undang-Undang termasuk Rang Undang-Undang Perbekalan yang dibentangkan di Parlimen akan dirunding dan dipersetujui secara bersama.
6. Ahli parti pembangkang akan dilibatkan dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk memberikan pandangan dan cadangan penambahbaikan.
7. Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang menteri.

Hasil daripada tawaran inilah maka Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) terzahir pada 13 September 2021 yang mengandungi begitu banyak penambahbaikan ke atas sistem berkerajaan.

Komitmen kerajaan untuk menghormati kebebasan institusi Kehakiman serta memperkasakan kedudukan institusi Parlimen termasuk mewujudkan semula kebebasan kewangan dan pentadbiran Parlimen yang terkandung di dalam MoU itu sudah semestinya akan menyuburkan lagi amalan demokrasi negara.

Lebih mutakhir, dalam ucapan sempena Hari Wartawan Nasional 2022 pada 29 Mei, Ismail Sabri menekankan betapa kerajaan beliau menjamin kebebasan bersuara di negara ini serta tidak pernah menghalang media daripada menyiarkan sebarang laporan berita.

Dalam Perutusan Sempena Tahun Baharu 2022 pula, Ismail Sabri menyatakan kerajaan akan mengadakan transformasi sistem kehakiman bagi memperkukuhkan demokrasi di negara ini dan, insya Allah, ini akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Dalam konteks hak asasi manusia, tidak berlaku apa-apa perlanggaran hak asasi manusia yang nyata sepanjang pentadbiran Ismail Sabri, malah sebaliknya beliau telah memperjuangkan penegakan hak asasi bagi golongan yang terpinggir baik di dalam negara mahupun di luar negara.

Begitu banyak sekali ucapan dan tindakan yang beliau lakukan yang mencerminkan komitmen beliau ke atas penegakan hak asasi bagi golongan yang terpinggir, baik di dalam negara mahupun di luar negara.

Di dalam pelbagai majlis, Ismail Sabri sering menekankan mengenai pelbagai polisi, inisiatif dan insentif yang telah dan akan diperkenal oleh kerajaan demi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang ketinggalan dalam merasai nikmat dan kemakmuran negara, ‘No one will be left behind’.

Dalam konteks hak Sabah dan Sarawak, Kerajaan, melalui Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63) sentiasa memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak. Malah Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2021 berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah diluluskan pada 14 Disember 2021.

Dalam konteks hak kaum minoriti, Ismail Sabri menekankan dalam ucapan sulung beliau sebagai Perdana Menteri pada 22 Ogos 2021 bahawa beliau akan memastikan tiada mana-mana rakyat Malaysia, tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum yang tercicir atau terpinggir. Ini beliau tegaskan lagi dalam Perhimpunan Agung MIC Ke-75 pada 12 Disember 2021 dan dalam Perhimpunan Agung MCA Ke-68 pada 19 Disember 2021.

Begitulah juga dengan Orang Asli, orang kurang upaya (OKU), warga emas, wanita, kanak-kanak serta golongan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik dan bencana alam.

Begitupun, seperti yang ditekankan oleh Ismail Sabri sewaktu menjawab soalan Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di Parlimen pada 1 Mac, hak asasi di negara kita mungkin berbeza daripada nilai yang digunapakai oleh badan antarabangsa.

Jika hak asasi itu adalah membawa makna seruan untuk menghapuskan semua peraturan dan undang-undang yang menjadikan homoseksualiti sebagai satu jenayah, seperti yang pernah disuarakan oleh Ahli Parlimen DAP, maka benarlah Ismail Sabri tidak pernah bercakap mengenainya.

Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff adalah Pegawai Khas Perdana Menteri.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru