Friday, August 19, 2022

Isu hakim Nazlan: Tribunal kehakiman wajar dibentuk segera

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang berat pendedahan berkaitan Hakim Datuk Mohd Nazlan bin Mohd Ghazali berkenaan tuduhan penglibatan beliau dalam penubuhan SRC International.

Walhal menurut ketua pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, beliau juga adalah hakim yang menjatuhkan hukuman ke atas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes bersabit syarikat yang sama.

“Kedudukan Datuk Mohd Nazlan sebagai peguam dan setiausaha Maybank pada tahun 2006 sudah tentu memberikan akses besar kepada beliau dalam isu pentadbiran bank berkenaan.

Termasuklah bagaimana wang RM42 juta iaitu sebahagian daripada RM140 juta yang dipinjamkan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development boleh dipindahkan ke akaun Datuk Seri Najib, yang akhirnya menjadi punca dakwaan ke atas beliau,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini bertentangan dengan fakta kes bahawa kononnya RM42 juta itu datang daripada pinjaman RM4 bilion KWAP yang diluluskan ketika Dato’ Seri Najib menjadi Perdana Menteri,’ katanya.

Tegasnya, Pemuda UMNO juga memandang serius berkenaan siasatan SPRM ke atas wang sebanyak RM1 juta di dalam akaun Hakim Datuk Nazlan yang telahpun diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara. Namun, masih belum ada sebarang tindakan daripada pejabat Peguam Negara berkenaan kertas siasatan tersebut.

Beliau berkata, sudah menjadi satu amalan etika am kehakiman di seluruh dunia bahawa mana-mana hakim yang sedang mendengar sesuatu kes, jika mendapati ia sedang berada di dalam keadaan konflik kepentingan dengan kedudukannya sama ada semasa atau sebelum menjadi seorang hakim, perlu mengecualikan dirinya dalam mendengar apatah lagi memutuskan kes tersebut.

“Lebih parah lagi jika ada sebarang cubaan untuk menyembunyikan fakta penglibatan yang terkait dengan konflik berkepentingan sejak dari awal proses penghakiman dijalankan,” katanya.

Semua ini kata beliau, sebenarnya boleh menghakis integriti badan kehakiman yang sepatutnya menjadi tunjang kepercayaan mutlak rakyat terhadap benteng utama kedaulatan undang-undang.

Ujarnya, Pemuda UMNO bertegas untuk tidak akan mempertahankan mana-mana pihak yang bersalah.

Namun, kami percaya bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi ia juga mesti dilihat telah dilaksanakan.

Tidak wajar sama sekali sebarang bentuk kepincangan dalam proses mendapatkan keadilan dikompromikan.

Justeru itu, katanya lagi., Pemuda UMNO mendesak agar Ketua Hakim Negara segera bertindak dengan tegas.

Di samping itu cadang beliau, satu tribunal khas mesti diwujudkan berdasarkan peruntukan Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan bagi menyiasat sebarang salah laku dan perlanggaran etika kehakiman terhadap Hakim Datuk Nazlan serta keputusan-keputusan yang telah dibuat oleh beliau terutama berkaitan kes-kes berprofil tinggi.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru