Sunday, June 26, 2022

Dua wanita Vietnam didenda

Secara Rawak

KUCHING: Seorang lelaki tempatan dan dua wanita warga Vietnam masing-masing dijatuhi hukuman denda RM13,100 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam, atas tiga pertuduhan memiliki dadah, April lalu.

Tertuduh Chai, 30, Nguyen Thi My Linh, 24, dan Pham Thi Cam Tran, 21, masing masing mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut kesemua pertuduhan, mereka didakwa secara bersama memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 0.11 gram, 1.9 gram ekstasi dan 16.2 gram ketamine.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik di sebuah pangsapuri mewah di Jalan Lapangan Terbang di sini, sekitar jam 3.10 petang, 4 April lalu.

Oleh itu, kesemua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.

Sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau keduaduanya sekali.

Bagi pertuduhan pertama, mereka dijatuhi hukuman denda RM3,100 atau lima bulan penjara.

Manakala, pertuduhan kedua dijatuhi hukuman denda RM4,000 atau penjara lima bulan. Sementara itu, pertuduhan ketiga kesemua tertuduh dijatuhi hukuman denda RM6,000 atau penjara tujuh bulan.

Menurut fakta kes, satu serbuan telah dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak di sebuah pangsapuri mewah di Jalan Lapangan Terbang kerana dipercayai terdapat aktiviti dadah.

Hasil pemeriksaan menjumpai satu kotak di bahagian bawah almari baju yang mempunyai satu paket plastik berisi campuran serbuk jus buahbuahan dengan berat kasar 438 gram.

Selain itu, pihak polis turut menemui satu paket berisi campuran serbuk ekstasi dan serbuk milo dengan berat kasar 37 gram.

Barang kes kemudian dibawa ke Jabatan Kimia Malaysia dan laporan mendedahkan bahawa bahan terbabit berisi dadah jenis syabu, ketamine dan MDMA.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Lim Lian Kee.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru