Tuesday, August 16, 2022

Penarafan SEB kuatkan profil peneraju tenaga boleh diperbaharui

Secara Rawak

KUCHING: Penarafan kredit antarabangsa yang diperoleh Sarawak Energy akan menguatkan profil peneraju tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia itu di pasaran serantau dan antarabangsa.

Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili selepas Sarawak Energy memperoleh penarafan kredit pengeluar buat kali pertama daripada dua agensi penarafan kredit antarabangsa iaitu Moody’s Investors Service atau Moody’s dan S&P Global Ratings atau S&P.

Moody’s telah memberikan penarafan kredit pengeluar A3 (pandangan stabil), sementara S&P memberikan penarafan kredit penerbit A- (pandangan negatif).

“Kami gembira mendapat penarafan kredit antarabangsa ini yang mencerminkan kekuatan Sarawak Energy, yang menjadi penanda aras dengan rakan serantau yang lain.

“Sekali gus akan menguatkan lagi profil Sarawak Energy di pasaran serantau dan antarabangsa, serta membina lebih ketelusan dan keyakinan pelabur yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelasnya, penarafan ini juga membina rekod prestasi global yang menyokong Sarawak Energy dalam perjalanan transformasi daripada utiliti tradisional kepada pemaju kuasa hidro serantau utama dengan visi untuk mencapai pertumbuhan mampan dan kemakmuran untuk Sarawak dengan memenuhi keperluan Asia Tenggara dalam sumber tenaga yang boleh dipercayai dan boleh diperbaharui.

Tambah Sharbini, penarafan gred pelaburan Sarawak Energy mencerminkan kedudukannya sebagai syarikat utiliti elektrik utama Sarawak dan peranan pentingnya dalam pembangunan ekonomi Sarawak melalui Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (Score).

Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Sarawak Energy Alexander Chin mengucapkan terima kasih kepada para pemegang saham dan semua pihak berkepentingan dalam mendapatkan penarafan kredit antarabangsa gred pelaburan.

“Ini akan memberi peluang kepada kami untuk menerokai pasaran pembiayaan antarabangsa dan mampan untuk keperluan pembiayaan masa hadapan.

“Hal ini kerana Sarawak Energy terus merealisasikan rancangan pengembangan serantaunya sebagai sebahagian daripada aspirasi kami untuk menjadi kuasa serantau,” ujarnya.

Sarawak Energy terdahulu mempunyai program Sukuk Musyarakah sedia ada bernilai RM15 bilion yang diberi penarafan AAA/Stabil oleh RAM Ratings Services Berhad, iaitu agensi penarafan kredit terkemuka dan terbesar di Malaysia dan Asia Tenggara.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru