Sunday, June 26, 2022

Banduan lari dari penjara menyamar jadi wanita

Secara Rawak

PARAGUAY: Sejak seminggu lalu, tajuk berita di Paraguay didominasi kisah “Gordito lindo” iaitu kisah banduan yang berjaya keluar dari penjara dengan berpakaian seperti wanita.

Banduan tersebut, César Ortiz, yang dipercayai ketua kumpulan jenayah Rotela melarikan diri dari Penjara Kebangsaan Tacumbú dengan hanya berjalan keluar melalui pintu pagar hadapan.

Seiring kebebasannya, dia kini mendapat nama samaran “Gordito Lindo” atau “Gemuk comel” kerana kejayaannya menyamar sebagai wanita untuk menipu pengawal.

Foto dan rakaman video yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Paraguay menunjukkan Ortiz memakai rambut palsu, bulu mata palsu, gincu, kuku palsu dan pakaian wanita.

Banduan tersebut melarikan diri selepas menerima lawatan sepasang suami isteri.

Dia kemudian memasuki bilik persendirian bersama-sama wanita dan berjalan keluar dengan memakai pakaian wanita sehingga berjaya memperdaya pengawal di beberapa pusat pemeriksaan.

Biarpun berjaya keluar dengan mudah, namun kebebasannya tidak lama, polis berjaya menangkapnya semula hanya beberapa jam kemudian.

Dia ditahan dan dipindahkan ke penjara lain atas sebab keselamatan.

Pada hari dia melarikan diri, César Ortiz menjalani hukuman penjara tiga tahun, sembilan bulan dan 20 hari kerana melakukan jenayah serangan dan rompakan.

Tempoh hukumannya mungkin meningkat selepas kejadian itu, lapor Arynews.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru