Tuesday, August 16, 2022

Jana ekonomi peniaga kecil

Secara Rawak

SARIKEI: Usaha Serakup Dagang Dayak Sarikei (SDDS) mewujudkan bazar Gawai pertama Sarikei berbaloi apabila tapak itu mendapat sambutan.

Pengerusi SDDS, Agatha Dayang Anggi berkata, walaupun hanya beroperasi dalam tempoh dua minggu, namun bazar itu mampu menjana ekonomi peniaga kecil.

Menurutnya, idea penubuhan bazar Gawai terhasil selepas ramai peniaga kecil di Sarikei terkesan akibat penularan Covid -19.

“Kami sepakat mewujudkan gerai ini untuk membantu mereka.

Pada mulanya, agak bimbang kerana ini adalah percubaan pertama.

Bagaimanapun melihat pada sambutan, kami amat gembira,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Bazar mempunyai 70 gerai jualan yang menyediakan aneka pilihan kepada pengunjung bukan sahaja dari Sarikei tetapi juga mereka yang datang dari luar daerah itu.

Selain memberi manfaat kepada semua pihak, terutama dalam kegawatan ekonomi, sokongan masyarakat Sarikei juga penting dalam membantu membangkitkan semula peniaga kecil selain memeriahkan lagi suasana gawai tahun ini.

“Makan dan minuman tradisional kebanyakannya habis terjual setiap hari malah, sesetengah peniaga mendapat tempahan kuih-muih, biskut dan kek, untuk perayaan Gawai.

“Sehubungan itu, saya ingin menzahirkan penghargaan kepada orang ramai khususnya masyarakat Sarikei yang memberikan sokongan padu sehingga membuahkan kejayaan terhadap usaha ini.

“Kejayaan ini pastinya menyuntik semangat kami untuk meneruskan penganjurannya pada masa akan datang,” katanya.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru