Sunday, June 26, 2022

Atlet Muaythai Sarawak kelas dunia

Secara Rawak

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman menjelaskan, beliau bersedia membantu sukan Muaythai Sarawak berkembang sehingga mampu melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

Jelasnya, usaha itu perlu mendapat kerjasama padu daripada segenap masyarakat terutama kelab dan persatuan Muaythai serta para penyokong sukan itu sendiri bagi menyemarakkan lagi semangat para atlet untuk menjadi lebih baik.

Beliau mengakui tugas melahirkan atlet bertaraf dunia bukan tugas mudah, namun sekiranya pengurusan ekosistem dapat diatur dengan baik adalah tidak mustahil impian tersebut mampu dicapai pada masa lima tahun akan datang.

“Sukan Muaythai telah berkembang secara meluas di Sarawak, jadi saya ingin memberi cabaran dalam masa lima tahun saya ingin melihat seorang anak Muay Sarawak mampu menang kejuaraan dunia Persatuan Muaythai Antarabangsa (IFMA).

“Kita akan membantu ke arah usaha ini.

Saya mengharapkan agar kita sama-sama mengambil cabaran ini demi mewujudkan atlet (fighter) bertaraf kejohanan IFMA. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian kejohanan Cabaran Muaythai NSIX Tupong piala Datuk Seri Fadillah Yusof dan Piala Pusingan Fazzrudin Abdul Rahman di Dewan Serbaguna Akademi Kastam Sarawak, baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan akan menganjurkan kejohanan Muaythai setiap tahun di Tupong sebagai usaha mengetengahkan anak-anak muda lebih mudah berkecimpung ke arah sukan tersebut.

Katanya, ia antara strategi untuk memastikan objektif tercapai di samping mewujudkan ekosistem lengkap dari semasa ke semasa.

“Kita perlu ada fighter, untuk melahirkan fighter, perlu ada jurulatih bertauliah, berkebolehan, dan juga pertandingan untuk mengasah bakat atlet agar mereka berkembang. “Saya ingin menyumbang dan akan menganjurkan cabaran NSIX setiap tahun di Tupong.

“Justeru, sokongan kelab serta kerjasama erat amar diperlukan untuk membakar semangat fighter di samping kehadiran tetamu,” katanya.

Tambahnya, bantuan khususnya daripada Majlis Sukan Negara (MSN), dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), juga adalah penting untuk memastikan atlet dapat memasuki kejohanan yang dianjurkan.

Sementara itu, Presiden Muaythai Sarawak Jumaat Ibrahim memberitahu kejohanan tersebut merupakan yang pertama dianjurkan selepas pandemik dua tahun lalu.

Justeru katanya, penekanan prosedur operasi standard (SOP) masih tetap dijalankan secara tegas di lapang kejohanan demi keselamatan semua pemain dan juga pengunjung.

Beliau menzahirkan penghargaan kepada pihak pengurusan, penganjur, dan juga agensi-agensi berkaitan kerana memberikan kerjasama baik dalam menjayakan program.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru